Busking Syabab IKRAM: Anak muda dirai

Persembahan menyegarkan
15
Oct

Busking Syabab IKRAM: Anak muda dirai

SHAH ALAM – Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2016) telah meraikan anak-anak muda yang berbakat dalam seni muzik melalui “Busking Syabab IKRAM” sebagai salah satu aktiviti yang diadakan pada sebelah petang.

Persembahan nyanyian oleh kumpulan Zeyad dan deklamasi puisi oleh srikandi bertemakan Palestin ini diiringi oleh kumpulan muzik yang menamakan diri mereka sebagai Tremolo. Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang telah berkerjaya dan sedang menuntut di institusi pengajian.

Bercerita tentang penubuhan Tremolo, wakil kumpulannya, Daniel Iqram, menyebut bahawa mereka telah dikumpulkan di bawah satu wadah yang dinamakan ‘Muzik GEMA’ di bawah Pertubuhan Gema Malaysia (GEMA). Ia bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak muda yang berminat dan berbakat dalam seni muzik.

“Kami baru saja berusia enam bulan dan dalam tempoh tersebut, telah membuat persembahan di beberapa tempat. Falsafah kami yang mengutamakan bakat seni untuk diketengahkan selagi tidak melanggar syarak, akan rugi sekiranya tidak mendapat penyertaan daripada anak-anak muda yang memerlukan medium.”

“Ahli setakat ini baru sahaja mencapai 30 orang. Jadi, kami ingin mengalu-alukan kepada seluruh masyarakat tidak kira lelaki atau perempuan untuk turut bersama kami. Malah, kami juga dalam perancangan untuk memulakan aktiviti muzik yang lain seperti koir di jalanan,” tambah beliau.

Penyertaan dalam Muzik GEMA dibuka untuk para belia dengan menghubungi facebook Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia.

Perhimpunan Tahunan IKRAM pada 15 Oktober yang diadakan di iDeal Convention Centre Shah Alam(IDCC) telah mengangkat tema ‘Siasah Syar’iyyah Dalam Pembangunan Negara Rahmah’ dihadiri oleh lebih 3,000 ahli IKRAM dan 200 orang awam.

Leave a Reply