Tangani kemelut negara dengan siasah syar’iyyah – Presiden IKRAM
SHAH ALAM – Malaysia yang kini berhadapan dengan pelbagai kemelut yang menuntut penyelesaian yang menyeluruh, amat memerlukan banyak inisiatif siasah syar’iyyah bagi mendepani cabaran-cabaran negara dengan sebaik-baiknya.
“Ia perlu agar kita dapat memacu perubahan negara seperti yang kita inginkan secara bertahap-tahap,” kata Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Katanya, siasah syar’iyyah telah menyediakan ruang yang luas untuk ijtihad dalam bidang pentadbiran dan tatakelola selagi mana sesuatu tindakan dalam bidang tersebut tidak menyalahi syariah, jelas beliau lagi.
“Penggunaan siasah syar’iyyah mestilah mencerminkan kepentingan prinsip tersebut dalam kehidupan semasa ummah. Konsep siasah syar’iyyah memberi ruang neutral yang dinamik, tidak dogmatik dan memberikan ruang kepada kebijaksanaan akal manusia untuk memandu kehidupan mereka berteraskan wahyu,” hurai beliau.
Presiden IKRAM mengutarakan pandangan ini dalam ucaputamanya bertajuk “Siasah Syar’iyyah Dalam Pembangunan Negara Rahmah” sempena program Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2016 yang berlangsung di IDCC Shah Alam yang dihadiri lebih 3,000 ahli IKRAM dari seluruh Malaysia serta cawangan-cawangan bersekutu di seluruh dunia
Menurut Dr Parid, kehebatan dan keistimewaan siasah syar’iyyah dapat dilihat dengan ketara pada zaman pemerintahan Khalifah Kedua, Saidina Umar bin al-Khattab RA.
“Sepanjang pemerintahannya 10 tahun, Saidina Umar RA memberi contoh siasah syar’iyyah yang terbaik daripada seorang pemerintah Islam sepanjang sejarah, bertepatan dengan kedudukan beliau sebagai sahabat Rasulullah SAW yang memiliki keperibadian dan kebolehan yang tersohor dan istimewa,” katanya.
Katanya, Saidina Umar RA telah menggunakan kebijaksanaannya yang tinggi dan integriti yang utuh ketika memikul amanah memimpin negara untuk mengembangkan siasah syar’iyyah selaras dengan perkembangan rakyat dan negara bagi mendepani dunia pada masa tersebut.
Menurut Dr Parid, banyak ijtihad yang dibuat oleh Saidina Umar menggunakan prinsip siasah syar’iyyah, antaranya memutuskan agar semua rakyat disantuni sebagai warga negara yang setaraf secara adil; pengagihan pendapatan negara dilakukan selaras dengan pengorbanan umat dan keperluan rakyat; dan mengamalkan semak imbang terhadap para pegawai atasan yang memungut zakat dan hasil negara.
Selain itu, Khalifah Umar memastikan harta pegawai atasan pada tarikh akhir persaraan mereka tidak melebihi jumlah pendapatan yang sepatutnya mereka peroleh; menghentikan pelaksanaan hukuman potong tangan ke atas pencuri sewaktu negara berhadapan kemarau yang menjejaskan kehidupan rakyat; melancarkan perang jihad terhadap rejim zalim kecuali mereka mengadakan perjanjian damai dengan negara Islam; dan melantik orang-orang soleh memimpin rakyat dan negara.
Menurut Dr Parid yang merupakan bekas pensyarah bidang syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pemegang PhD syariah daripada Universiti Amman Jordan, pemerintahan Saidina Umar telah melakukan semua tindakan tersebut berasaskan ijtihad dan fiqh yang mendalam.
Asas-asas lain dalam membuat tindakan tersebut adalah penelitian yang menyeluruh dan tepat; pertimbangan yang tepat terhadap impak; budaya berunding dengan para sahabat yang terkemuka; pegangan kepada maslahah yang qat’i; pertimbangan antara maslahah dan mafsadah dengan menangkis mafsadah terlebih dahulu; penggunaan formula fiqh keutamaan dan fiqh pertimbangan; dan pertimbangan maqasid syariah.
IKRAM mengumumkan konsep “Malaysia Menuju Negara Rahmah” melalui PTI-nya pada tahun 2014 dan menggerakkan ahlinya kepada usaha mendidik masyarakat ke hala tuju tersebut.
Terdapat 12 ciri negara rahmah yang diumumkan oleh IKRAM iaitu kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti; sistem pemerintahan yang berdasarkan semak dan imbang yang berkesan; tadbir urus yang baik; dan undang-undang yang adil.
Selain itu, ciri-ciri lain adalah masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang; institusi keluarga yang utuh; hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni; ekonomi yang mampan; agihan kekayaan yang saksama; pembangunan yang lestari; kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara; dan, menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Sementara pada tahun lalu PTI mengambil tema ‘Memacu Perubahan Malaysia Rahmah Berasaskan Maqasid Syariah” dengan menghuraikan gagasan maqasid syariah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, kehormatan, akal, harta dan lingkungan kehidupannya, yang dianggap model paling lengkap dalam membangunkan sesebuah negara.
Pertubuhan IRAM Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2010 adalah antara NGO yang terkehadapan di Malaysia yang mempunyai jentera, cawangan dan jaringan bagi menggerakkan pelbagai aktivisme untuk pembangunan masyarakat dan negara dalam bidang dakwah, pendidikan, masyarakaat madani, pembangunan keluarga dan wanita, belia, kepedulian masyarakat serantau dan antarabangsa.