Mercu tanda dakwah Ikhwan - Dr Ibrahim Munir

Empat mercu tanda
15
Oct

Mercu tanda dakwah Ikhwan – Dr Ibrahim Munir

SHAH ALAM – Allah telah memilih manusia sebagai khalifah untuk mentadbir bumi, suatu pilihan yang mengejutkan para malaikat. Allah juga menghendaki Ikhwan Muslimin lahir dalam tempoh wujudnya banyak ideologi lain.

Demikian Dr Ibrahim Munir, Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin memulakan bicara dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM 2016 di IDCC Shah Alam tengah hari tadi.

“Presiden (Mesir) Dr Muhammad Mursi diculik. Bahkan syahidnya Imam Hasan al-Banna dalam perjuangan untuk menyeru manusia kepada kebaikan tanpa membezakan status dan darjat menjadikan kita tidak kedekut untuk berkorban kerana sesungguhnya perjuangan itu tiada had, tiada batas masa dan tenaga.”

Menurut beliau, Imam Hasan al-Banna dalam tulisannya ‘Ke Arah Mana Kita Menyeru Manusia?’ memetik sepotong ayat al-Quran dari surah al-Hajj (77-78) (maksudnya):

“Wahai orang-orang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). 

“Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). 

“Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”

Berdasarkan ayat di atas, katanya, empat mercu tanda dakwah Ikhwan ialah beribadah, berbuat baik, menjadi saksi kepada manusia berkaitan perkara yang benar dan salah, serta menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.

“Beribadahlah kepada Allah dengan tunduk dan patuh kepada-Nya. Berjuanglah di jalan Allah dengan perjuangan yang sebenar. Jihad pula ada bermacam-macam rupa. Apa yang dilakukan oleh dua srikandi IKRAM (Dr Fauziah Mohd Hassan dan Puan Norsham Abu Bakar) dalam misi Women’s Boat to Gaza itu juga satu jihad,” jelas Dr Ibrahim.

Menurut beliau lagi, Allah telah memilih kita dan tidak menjadikan agama itu perkara yang susah. Agama pula mesti dikaitkan dengan perjuangan, tidak boleh dipisahakan antara dakwah dengan daulah atau antara agama dengan negara.

“Pelbagai sistem pada hari ini telah gagal mengatur hidup manusia. Tetapi kita (Islam) masih berada di medan yang betul. Namun jangan lupa bahawa medan ini tidak jauh dari musuh.

“Apa yang kita baca dalam surah al-Fatihah menterjemahkan agama kita. Kita mulakan dengan menyebut dan memuji Allah, dan kita akhiri dengan memohon agar Allah menjauhkan kita daripada jalan orang-orang yang dimurkai dan orang-orang yang sesat.”

Beliau seterusnya mengingatkan agar umat Islam terus berpegang dengan Allah.

“Pastikan jalan kita benar dan segala kerja kita berpaksikan Tuhan. Allahlah sebaik-baik pelindung kita, dan kepada Dialah sebaik-baiknya kita kembali.”

Beliau mengingatkan hadirin akan amaran Allah dalam al-Quran supaya jangan bergaduh kerana pergaduhan hanya akan menyebabkan umat Islam gagal dan hilang kekuatan.

“Bersatulah! Jangan berpecah belah!” pesan beliau sebelum mengakhiri ucapannya di hadapan kira-kira 3,200 orang peserta PTI 2016.

Leave a Reply