Siasah Syar’iyyah: Mantapkan kefahaman ahli IKRAM dan masyarakat
SHAH ALAM – Para pimpinan IKRAM Negeri disaran supaya menganjurkan seminar, wacana, forum dan diskusi ilmiah untuk membincangkan dan membahaskan siasah syar’iyyah bagi mengukuhkan lagi kefahaman ahli IKRAM khususnya dan masyarakat amnya.
“Kita berharap akan dapat membangunkan satu pelan tindakan strategi yang praktikal untuk IKRAM dan negara, mempersiapkan barisan kepemimpinan dengan keupayaan membangunkan berbagai-bagai inisiatif siasah syar’iyyah berhadapan dengan permasalahan masyarakat dan negara,” kata Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad.
Bagi merealisasikan konsep negara rahmah dengan pendekatan siasah syar’iyyah, katanya, tanggungjawab ini perlu digalas dengan penuh keazaman dan iman dan memerlukan kesungguhan dalam mengerahkan tenaga, keringat, harta dan pemikiran serta berjuang habis-habisan bagi menjayakan impian ini.
Berucap dalam ucaptama sempena Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2016) di IDCC di sini jelasnya, siasah syar’yyah bermaksud pengurusan atau tata kelola seorang imam (pemimpin) yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh rakyat (hal ehwal kenegaraan) berasaskan tuntutan-tuntutan syariah.
Berbanding dengan siasah ‘aqliyyah (siasah akal) dan siasah tab’iyyah (siasah tabii), tambahnya, siasah syar’iyyah ialah siasah yang menjamin keadilan lantaran ia lahir daripada unjuran wahyu dan ijtihad fiqhi yang dipandu nas wahyu atau rohnya bukan tercerna daripada unjuran akal atau nafsu manusia semata-mata.
“Ia berbekalkan satu pertimbangan yang menyeluruh, terbaik yang mampu dicerna akal manusia yang terasuh dengan asuhan terbaik dalam kalangan mereka,” kata Dr Parid lagi di hadapan 3,200 peserta PTI 2016 pada Sabtu lalu.
Jelas beliau, siasah syar’iyyah mengambil kira beberapa aspek untuk melakukan pertimbangan dan keputusan dalam pengurusan negara iaitu thawabit atau mutaghayyirat (perkara berubah atau tetap), qat’iyyat atau dzanniyyat (perkara muktamad atau agakan), nassi dan ijtihadi (perkara yang dinaskan atau ijtihad) dan pecahan hukum-hukum syarak.
Menurut Dr Parid, bagi membangunkan siasah syar’iyyah berlandaskan maqasid syariah, ia memerlukan keupayaan seseorang pemimpin untuk memahami nas-nas wahyu dan dan maqasidnya, menegakkan maslahah manusia dan alam secara mutlak, membuat pertimbangan yang tepat terhadap impak serta menggabungkan kerangka kasar kandungan syariah dan dalil-dalil khusus yang menyentuh sesuatu isu yang dihadapi.
“Maqasid di sini berdiri sebagai neraca penimbang dalam menentukan sesuatu keputusan, neraca kebijakan kepada setiap polisi dan pendirian berhadapan dengan pelbagai isu kehidupan.
“Ia amat penting dalam proses ijtihad bagi menghasilkan fatwa dan keputusan terbaik, lantaran itu ia juga merupakan asas penting bagi pertimbangan siasah syar’iyyah.”
Beliau turut menjelaskan bidang-bidang maqasid syariah iaitu memelihara nilai-nilai kehidupan, kemanusiaan, diri manusia, organisasi masyarakat dan persekitaran kehidupan manusia.
Katanya, IKRAM telah merangka beberapa inisiatif siasah syar’iyyah secara bertahap-tahap bagi mendepani situasi masyarakat dan negara Malaysia masa kini yang berhadapan dengan pelbagai kemelut yang menuntut penyelesaian yang menyeluruh dan mendasar agar mampu memacu perubahan masyarakat dan negara.
Beliau berharap supaya usaha IKRAM ini akan membantu dan menyumbang ke arah membina dan membangunkan negara Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah Mithali yang berteraskan pendekatan siasah syar’iyyah yang komprehensif.
“Semoga ucaptama hari ini akan mendorong kita semua berusaha menguasai ilmu siasah syar’iyyah bagi mendepani cabaran perjuangan masa hadapan.”
Muat turun: