Single Blog Title

This is a single blog caption
20
Nov

Ucapan Presiden IKRAM

BERSAMA-SAMA MEMIKUL TANGGUNGJAWAB MEMBINA MALAYSIA BAHARU

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

وَالصَّلاَة وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ

وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Yang mulia Sdr Pengerusi;

Yang dikasihi Yang Dipertua DPN, Timbalannya dan

anggota sekretariat DPN;

Yang dimuliakan Timbalan dan Naib-naib Presiden,

barisan pemimpin JKP, Ketua Wanita, barisan pemimpin

Wanita IKRAM Pusat, Ahli-ahli DPN, barisan pemimpin

Negeri-negeri dan Kawasan-kawasan, ahli-ahli,

bukan ahli dan para tetamu jemputan yang dikasihi.

PENDAHULUAN

Ikhwah dan akhawat, tetamu-tetamu yang mulia,

Tajuk bicara pada PTI kali ini ialah: 

Bersama-sama Memikul Tanggungjawab Membina Malaysia Baharu

Ia satu seruan kepada seluruh warga negara Malaysia agar berusaha bersama-sama melaksanakan tanggungjawab membina negara Malaysia dalam bentuknya yang baharu, maju, makmur, aman dan damai.

Malaysia Baharu adalah sebuah negara yang berkembang ke arah memiliki:

  1. Kepimpinan yang soleh, berkebolehan dan berintegriti
  2. Tadbir urus yang baik dan cekap
  3. Ekonomi yang mampan
  4. Pembangunan yang lestari
  5. Pengagihan kekayaan yang saksama
  6. Sistem kehakiman yang adil
  7. Badan perundangan yang kuat dengan semak imbang yang berkesan
  8. Institusi-institusi keluarga kecil dan besar yang utuh
  9. Hubungan etnik sesama rakyat dan pelbagai penganut agama yang harmoni
  10. Masyarakat yang terasuh, berilmu dan penyayang
  11. Memelihara kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat
  12. Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Ia merupakan sebuah negara impian bagi kita semua masa kini, negara yang lebih baik yang akan membuka ruang kepada perkembangan yang lebih cemerlang lagi pada masa-masa hadapan seterusnya.

STRATEGI MEMBINA MALAYSIA BAHARU

Ikhwah dan akhawat, tetamu-tetamu yang dimuliakan!

Mendepani hasrat dan impian tersebut, banyak cabaran yang akan kita hadapi, keseluruhannya menuntut dari kita semua tekad dan azam yang tinggi, usaha yang gigih, siang dan malam mengerah keringat, berterus-terusan berfikir bagi menangani cabaran-cabaran tersebut dengan sebaik-baiknya.

Langkah awal kita ialah menggerakkan modal insan yang kita miliki, membina sebahagiannya dan memulihkan sebahagian yang lain lagi. Kedua-duanya perlu diadun agar menjadi modal insan baru yang siap untuk digerakkan ke medan-medan amal berasaskan pengupayaan dan penglibatan strategik yang tepat.

Bersama-sama dengan strategi ini, ruang perlulah dibuka seluas-luasnya kepada penglibatan inisiatif-inisiatif perseorangan atau swasta bagi menerokai bidang-bidang pembangunan strategik yang menjanjikan pulangan dan faedah-faedah yang benar-benar bermakna kepada kemajuan negara dalam skalanya yang lebih besar dan lebih meluas, mengangkat negara lebih cepat lagi kepada tahap negara maju sepenuhnya, mampu menyaingi negara-negara maju lainnya di persada dunia antarabangsa.

Kedua-dua strategi di atas perlu dijalin gabung agar pembangunan negara dapat dilakukan dengan cepat, berlangsung secara holistik menghasilkan impak yang terbaik kepada kelangsungan negara kita sebagai sebuah negara yang berkembang maju secara berterusan,  berimbangan dan saksama, serta sebagai contoh kepada negara-negara  lain, dalam kalangan dunia antarabangsa.

Berdiri atas dua rangkaian strategi di atas, kita mestilah pertama-tamanya terus memperkemaskan usaha-usaha kita membangunkan kesedaran umat, membangunkan modal insan, mempersiapkan diri dengan berbagai-bagai kebolehan, pengetahuan dan kemahiran serta sikap-sikap yang baik dalam mendepani cabaran-cabaran yang akan dihadapi negara dan masyarakat untuk membolehkan kita maju ke hadapan dengan cepat.

Keduanya, memanfaatkan seluruh peluang yang terbuka kepada inisiatif-inisiatif peribadi atau swasta menerusi usaha-usaha perseorangan atau jalinan usaha sama berbagai-bagai pihak swasta selain kerajaan bagi menerokai bidang-bidang pembangunan strategik yang menjanjikan pulangan dan faedah-faedah yang benar-benar bermakna kepada kemajuan negara dalam skalanya yang lebih besar dan lebih meluas berasaskan pemilikan mereka terhadap pelbagai sumber daya sendiri.

Semua usaha-usaha di atas dewasa ini sepatutnya dapat digerakkan dalam skala lebih besar, lebih cepat lantaran situasi politik negara dewasa ini sudah berubah: Negara Malaysia sudah memperolehi pemerintah baru.  Kerajaan baru yang lebih mewakili hasrat rakyat, sewajarnyalah rakyat boleh bergerak bersama-sama pemerintah melakukan pengislahan negara.

Rakyat sepatutnya merasa terpanggil untuk ikut serta memikul tanggungjawab membina negara Malaysia Baharu, negara harapan, negara yang lebih baik yang akan menaungi semua rakyat.

Bagi kelangsungan dan pelaksanaan strategi pertama, masyarakat umum boleh ikut serta menjayakan usaha-usaha yang sedang dilakukan kerajaan baharu terutamanya menerusi langkah-langkah pembaikan dan pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dalam membangunkan modal insan negara.

Ia dapat dibantu menerusi sumbangan idea-idea kumpulan-kumpulan pakar perancangan, pendidikan dan lain-lain serta peruntukan kewangan yang cukup bagi mempersiapkan negara dengan satu pelan tindakan induk yang terbaik, holistik, yang boleh dilaksanakan dengan berkesan dan cepat, menghasikan impak dan kejayaan dalam skala yang besar dan meluas melahirkan generasi-generasi baru yang berkemahiran tinggi dan berintegriti.

Bagi pelaksanaan strategi kedua pula, kita perlu membantu pemerintah dengan mengemukakan gagasan-gagasan pemikiran baru agar langkah-langkah pengislahan dan pembangunan negara yang lahir daripada peluang-peluang yang terbuka kepada pihak-pihak persendirian dan swasta dapat dimanfaatkan bagi menutup jurang-jurang perbezaan yang wujud antara kaum dan generasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan itu, kekayaaan negara akhirnya dapat diagihkan dan dikongsi bersama secara adil dan saksama.

Pelaksanaan kedua-dua strategi ini menuntut iltizam yang tinggi daripada kita semua, kesungguhan dan kesabaran bagi memastikan kedua-dua strategi tersebut dapat dilaksanakan dan mencapai sasaran-sasarannya dengan jaya.

PENGLIBATAN IKRAM DALAM MEMBINA NEGARA

Ikhwah dan akhawat, tetamu-tetamu yang mulia!

Rangkaian strategi ini dapat dilaksanakan oleh ahli-ahli IKRAM  menerusi penglibatan IKRAM sendiri atau menerusi penglibatan pelbagai institusinya, melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung.

Penglibatan IKRAM skala besar secara langsung ialah menerusi penglibatan strategiknya dalam memacu penglibatan ahli-ahlinya dalam kedudukan strategik dalam kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan-kerajaan tempatan, penglibatan ahli-ahlinya sebagai anggota dewan perundangan atau kehakiman syariah sekurang-kurangnya bagi mempersiapkan negara dengan pelbagai polisi dan solusi yang mampu membawa negara keluar daripada situasi kemelut dalam berbagai-bagai bidang kepada situasi kembali berkembang maju dalam semua bidang penglibatan, kegiatan dan kehidupan.

Penglibatan secara tidak langsung pula menerusi pelbagai institusinya yang telah pun memainkan peranan masing-masing dalam bidang kegiatan sosial, pendidikan, ekonomi, politik, dakwah, bantuan  kemanusiaan, pemeliharaan alam sekitar, perkhidmatan perubatan, santunan kepada berbagai-bagai lapisan masyarakat, umat sejagat dan lain-lain lagi.

Semua ini banyak membantu negara, meringankan bebanan yang terpaksa dipikul rakyat yang berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran kehidupan, mengangkat kesedaran rakyat berhadapan dengan situasi-situasi sukar yang dihadapi negara, cabaran-cabaran yang menanti, langkah-langkah yang perlu diambil mendepani semua cabaran ini termasuk keperluan kepada perubahan hala tuju politik negara yang mungkin menuntut kepada pertukaran pemerintahan sedia ada pada masa itu kepada satu pemerintahan baru yang kompeten dan berintegriti.

Langkah IKRAM tidak berhenti setakat itu sahaja. Ia perlu lebih proaktif lagi sejajar dengan visi dan misinya, membangunkan negara Malaysia sebagai Negara Rahmah Mithali yang disasarkan pada tahun 2035 menerusi usaha-usaha pengislahan negara yang menyeluruh, berterusan, meningkatkan pencapaiannya dalam semua lapangan dan bidang yang akan meletakkannya sebagai sebuah negara yang paling berkembang maju secara holistik dan berimbang, negara yang makmur di bawah lembayung syariah.

Untuk mencapai hasrat tersebut, IKRAM sendiri perlu menggerakkan satu strategi perjuangan yang lebih menyeluruh.  Matlamatnya ialah  “Melonjakkan peranan dan sumbangan IKRAM dalam pembinaan Malaysia Baharu”, satu matlamat yang menjelaskan kesediaan dan kesungguhan IKRAM untuk memainkan peranan dan menyumbang secara aktif kepada pengislahan masyarakat dan negara.

Empat bidang mestilah diberikan tumpuan dalam strategi ini:

  1. Advokasi – mencorak pemikiran dan agenda kumpulan-kumpulan strategik
  2. Penetrasi akar umbi – melebar luas sentuhan dan penetrasi IKRAM dalam masyarakat
  3. Lonjakan institusi – melonjakkan kecemerlangan dan impak institusi-institusi khusus IKRAM, dan
  4. Mengambil tempat dan peranan – memanfaatkan dan merangsang pengislahan berterusan dalam siasah negara

Advokasi:

  1. Usaha advokasi bagi mempengaruhi kumpulan-kumpulan strategik agar turut sama merangka dan menggerakkan perubahan sejajar dengan impian negara Malaysia Baharu.
  2. Kumpulan-kumpulan strategik yang dimaksudkan termasuklah pihak kerajaan, parti-parti politik, masyarakat madani (CSO), gerakan Islam dan komuniti korporat serta segmen-segmen khusus masyarakat seperti wanita, orang muda dan ulama.
  3. Agenda besar dalam advokasi ialah memastikan gagasan negara Malaysia Baharu menjadi impian semua pihak serta dakwah inklusif bersifat Rahmatan Lil ‘Alamin menjadi fikrah arus perdana.
  4. Advokasi dan kepimpinan pandangan umum (termasuk melalui media) juga perlu dalam menangani sebarang isu yang timbul dalam masyarakat dan negara.

Penetrasi akar umbi:

  1. Usaha penetrasi masyarakat akar umbi perlu dilakukan bagi meluaskan pengenalan, interaksi dan pengaruh IKRAM dalam masyarakat di seluruh negara.
  2. Anggota masyarakat keseluruhannya perlu terus dipandu untuk mengubah dan memperbaiki kefahaman, sikap dan amalan ke arah yang lebih soleh sebagai pengisian teras kepada pembinaan negara Malaysia Baharu.
  3. Ini bakal menjadi asas kekuatan sebenar IKRAM dalam menggerakkan dakwah dan perubahan yang berkesan secara jangka panjang.

Lonjakan institusi:

  1. Usaha melonjakkan peranan dan impak institusi-institusi yang ditubuhkan IKRAM dalam bidang khusus masing-masing.
  2. Institusi-institusi yang dimaksudkan termasuklah MyCARE, Hidayah Centre Foundation, IKRAM MUSLEH, Yayasan Ikram, GEMA, Belia HARMONI, PERINTIS, IKRAM Health, KIMB, MUBIN, MFP dan lain-lain yang sedia ada serta institusi-institusi yang lain yang bakal ditubuhkan pada masa hadapan.
  3. Setiap institusi harus berdaya maju, mandiri kewangan, serta mampu mencipta nama dan membina sokongan segmen masyarakat sasarannya melalui program dan khidmat yang berkualiti.

Memanfaatkan dan merangsang pengislahan berterusan dalam siasah negara:

  1. Usaha mengambil tempat dan peranan dalam jentera kerajaan dan parti-parti agar gerak kerja dakwah dan perubahan dapat dilonjak ke tahap yang lebih tinggi.
  2. Menggerakkan pelbagai program dan inisiatif secara kerjasama dengan pihak kerajaan.
  3. Memanfaatkan sumber dan kemudahan yang ada pada kerajaan untuk memajukan dakwah.
  4. Memastikan kerajaan dan parti-parti terus komited kepada agenda pengislahan masyarakat dan negara melalui reformasi institusi, polisi, sistem dan amalan.
  5. Membantu mengukuhkan parti-parti PH, agar lebih berdaya saing dan efektif di persada siasah negara.

Bagi menyokong agenda di atas, tumpuan juga harus diberikan kepada usaha-usaha mengembang dan mengukuhkan keupayaan organisasi dan modal insan IKRAM. Antara aspek yang perlu diberikan penekanan, adalah mewujudkan fungsi penyelidikan dasar, penerangan (media) dan perhubungan luar yang aktif dan berkesan, menggembleng semua ahli dan penyokong serta meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan melalui tarbiah dan pembangunan ahli yang efektif sejajar dengan keperluan, perkembangan dakwah dan perjuangan.

Pelaksanaan strategi pelbagai dimensi ini, insya-Allah mampu dilaksanakan sekarang lantaran perubahan landskap politik negara yang sudah terjadi kini membuka ruang dan peluang yang terbaik  untuk pelaksanaannya.

Mengambil kira peluang yang terbuka serta perancangan jangka panjang IKRAM, beberapa aspek perlu diberi keutamaan:

  • Melestarikan kerajaan baharu agar menjadi lebih baik daripada yang lama
  • Memacu dakwah Islamiah yang inklusif dan bersifat Rahmatan Lil ‘Alamin dalam mengislah nilai dan amalan masyarakat
  • Melonjak kehadiran IKRAM dan institusi-institusinya dalam masyarakat
  • Memanfaatkan hubungan dan kemudahan kerajaan untuk kemaslahatan dakwah
  • Membangun satu jumlah individu-individu yang berpotensi memegang tampok pemerintahan negara pada masa hadapan
  • Memanfaatkan peluang untuk ahli-ahli berperanan secara langsung dalam jentera kerajaan dan parti-parti PH, dan
  • Membantu mengembang dan mengukuhkan parti-parti PH pilihan 

MENGEMUDI HALA TUJU IKRAM
hala-tuju

Ikhwah dan akhawat, tetamu-tetamu yang dikasihi!

Ke hadapan ini, IKRAM kenalah menumpukan usaha-usaha perjuangan IKRAM berasaskan hala tuju IKRAM yang telah disepakati di mana matlamatnya ialah “Memacu Pembinaan Negara Rahmah”. Sasaran strategiknya pula ialah: “Membina Negara Malaysia Baharu”.

Mencapai sasaran strategiknya terlebih dahulu merupakan tuntutan perjuangan pada fasa ini. Ia merupakan laluan kepada peluang terbaik untuk kita dapat membangunkan sebuah negara Malaysia yang lebih sempurna, ‘Negara Rahmah Mithali’.

Untuk mencapai sasaran strategik tersebut, kita perlulah berusaha memantapkan kedudukan siasah negara dewasa ini serta memperteguh dan mengembangkan kehadiran IKRAM secara meluas dan berkesan dalam negara, langkah-langkah tersebut merupakan Petunjuk Prestasi Utama (PPU) kepada usaha-usaha kita ke arah mencapai sasaran strategik yang kita mahukan itu.

Berasaskan kerangka strateginya, kita sebagai ahli dan kader-kader IKRAM perlulah memperhebatkan amal dan usaha dalam lima (5) bidang amal yang amat penting seperti penjelasan kita terdahulu yang ringkasannya seperti berikut:

  1. Advokasi bagi mencorakkan pemikiran dan mempengaruhi kumpulan-kumpulan strategik
  2. Penetrasi akar umbi, melebar sentuhan dan penetrasi masyarakat
  3. Pengambilan tempat dan peranan dengan memanfaatkan dan melestarikan perubahan siasah negara
  4. Melonjakkan institusi-institusi IKRAM, menerusi lonjakan kecemerlangan dan impaknya
  5. Rejuvenasi IKRAM, menerusi pengukuhan keupayaan organisasi dan modal insannya

Ia seperti apa yang telah dilakarkan dalam kerangka strategi IKRAM di bawah:

kerangka

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN

Ikhwah dan akhawat, tetamu-tetamu yang mulia!

Pada pandangan kita, faktor-faktor yang akan menentukan kejayaan usaha-usaha di atas adalah seperti berikut:

  1. Barisan kepimpinan dan gaya kepimpinan yang berdaya saing (berorientasi luaran, cekap komunikasi massa, aktif membina hubungan, tangkas memanfaatkan peluang, cergas memacu aktivisme, tokoh publik)
  2. Mobilisasi penglibatan dan aktivisme ahli secara meluas dan aktif dalam masyarakat dan parti-parti PH
  3. Strategi gerak kerja berasaskan maklumat dan berorientasikan hasil (segmen / lokaliti tumpu)
  4. Institusi-institusi khusus yang mandiri dan berimpak tinggi
  5. Fungsi penyelidikan dasar, penerangan dan perhubungan luar yang berkesan
  6. Konsolidasi sumber manusia dan fasiliti ibu pejabat agar terfokus kepada bidang hasil utama
  7. Sumber kewangan yang mampan
  8. Kompetensi kepimpinan dan ahli yang relevan kepada peranan dan aktivisme
  9. Budaya organisasi yang kompetitif, minda perjuangan dipadani gerak kerja proaktif dan produktif
  10. Model operasi organisasi yang efisien dengan pembahagian peranan yang bersinergi antara pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan serta institusi-institusi khusus seperti lakaran kerangka strategi di bawah:

agihan

Penyusunan kawasan-kawasan IKRAM berasaskan kerangka strategik IKRAM di atas menuntut perancangan dan gerak kerja berasaskan maklumat seperti berikut:

  1. Definisi sempadan dan skop kawasan
  2. Penyediaan / kemaskini profil kawasan
  3. Penetapan lokaliti / komuniti tumpu
  4. Pembentukan pasukan petugas
  5. Perancangan aktiviti / program

Penglibatan ahli-ahli IKRAM di kawasan masing-masing bagi tujuan penetrasi akar umbi, penetrasi masyarakat mestilah dilaksanakan berasaskan langkah-langkah di atas bagi mencapai hasil dan impak yang terbaik.

kerja

 

Ia akan mengembangkan IKRAM, menjadikannya bertambah kuat, bertambah maju, pengaruhnya tambah meluas, pendukungnya bertambah ramai, memiliki pelbagai keupayaan, kemahiran dan pengalaman, memperolehi pendedahan, berada dalam berbagai-bagai relung amal, ikut serta melakukan pengislahan di kawasan-kawasan, negeri-negeri dan di peringkat pusat, ikut serta dalam usaha-usaha pembangunan masa depan perjuangan yang lebih cemerlang.

Sebagai sebuah pertubuhan yang berjuang untuk memenangkan Islam dalam negara dan di gelanggang dunia antarabangsa, IKRAM pasti akan berusaha menggerakkan berbagai-bagai strategi dan inisiatif bagi mengangkat negara Malaysia ke tahap sebuah Negara Rahmah Mithali yang mampu memainkan peranan pengislahan dalaman dan di peringkat dunia antarabangsa.

Ciri-ciri Negara Rahmah Mithali yang kita impikan:

  1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
  2. Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
  3. Tadbir urus yang baik
  4. Undang-undang yang adil
  5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
  6. Institusi keluarga yang utuh
  7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
  8. Ekonomi yang mampan
  9. Agihan kekayaan yang saksama
  10. Pembangunan yang lestari
  11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
  12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Untuk menjayakan cita-cita ini, anjakan minda dan budaya perlu dilakukan terutamanya oleh Ahli-ahli Teras khususnya dalam aspek-aspek berikut:

  1. Strategi dan metodologi – merupakan aspek ikhtiar yang sepatutnya dipandu dan dipacu hasil
  2. Ahli Teras adalah pemimpin – bukan penumpang atau penonton, mereka semua adalah qudwah, memimpin dari depan terhadap IKRAM / siasah / institusi
  3. Kepimpinan dan gaya kepimpinan berdaya saing – cekap, proaktif, tangkas dan cergas, tokoh publik
  4. Kembangkan minda ‘menang’ – ‘kita boleh’, buangkan minda keterbatasan, seribu alasan, yakin terhadap peluang walaupun berhadapan ancaman
  5. Hayati amalan dan budaya kompetitif – masa itu ‘hidup mati’ – berfikir, belajar dan berinovasi – cipta dan rebut peluang – guna sepenuhnya potensi dan kapasiti – hubungan dan jaringan sumber kekuatan baharu  

BERTERUSAN MENCIPTA SEJARAH BAHARU!

Ikhwah dan akhawat, para tetamu yang mulia, anggota masyarakat Malaysia seluruhnya!

Bagi masyarakat  umum, seluruh rakyat Malaysia, semuanya perlulah memainkan peranan masing-masing menyemarakkan usaha-usaha ini agar menerusi usaha sama dan kerjasama semua pihak memikul tanggungjawab di atas, kita akan dapat membangunkan sebuah negara Malaysia Baharu yang kemudiannya akan dapat dikembangkan menjadi sebuah Negara Rahmah Mithali.

Usaha-usaha di atas hendaknya dipacu berasaskan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dan kesepakatan warganegara Malaysia yang tercerna dalam nas-nas perlembagaan negara sedia ada supaya usaha-usaha ini kelak dapat berlangsung dalam suasana aman, kewujudan kerajaan yang baik yang turut melaksanakan agenda pengislahan negara secara bersungguh-sungguh serta berusaha mengekalkan perpaduan masyarakat majmuk dalam negara.

Usaha sama dan kerjasama ini sewajarnya diterajui sepenuhnya oleh semua pemegang taruh (stake holders) dalam negara iaitu kerajaan, parti-parti PH, NGO-NGO dan CSO-CSO, kepimpinan masyarakat dan lain-lain yang pastinya memiliki keupayaan yang jauh lebih besar untuk menggerakkan agenda ini dan menjayakannya, menggerakkan seluruh rakyat atau majoriti mereka menyokongnya.

Sebagai langkah mula, semuanya mencanangkan dukungan mereka kepada pencapaian ciri-ciri Negara Rahmah Mithali yang kita catatkan di atas buat negara Malaysia pada fasa mendatang serta menguar-uarkannya kepada masyarakat umum, pendukung-pendukung setia mereka dan orang lain.

Sekian, setakat ini sahaja dahulu, marilah kita bergandingan bahu, bersama-sama memikul tanggunjawab membina Malaysia Baharu sebagai pengantar kepada pembinaan negara Malaysia yang lebih sempurna, sebagai “Negara Rahmah Mithali”, insya-Allah. 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamd! 

Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

17 November 2018 / 9 Rabiulawal 1440H

Leave a Reply