Ucaptama: Siasah Syar’iyyah dalam Pembangunan Negara Rahmah

Isi penuh ucaptama
15
Oct

Ucaptama: Siasah Syar’iyyah dalam Pembangunan Negara Rahmah

SIASAH SYAR’IYYAH DALAM PEMBANGUNAN NEGARA RAHMAH 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين   أما بعد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Aluan

Yang mulia Sdr Pengerusi;

Yang dikasihi Yang Dipertua DPN, Timbalannya dan anggota sekretariat DPN;

Yang dimuliakan Timbalan dan Naib-naib Presiden, barisan pimpinan JKP, Ketua Wanita, barisan pimpinan Wanita IKRAM Pusat, ahli-ahli DPN, barisan pimpinan Negeri-negeri dan Kawasan-kawasan dan para tetamu jemputan yang dikasihi.

Ikhwah dan akhawat yang mulia,

1.0 Pendahuluan

Hari ini sekali lagi kita berhimpun dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM 2016 bagi memperkuatkan ukhuwah sesama kita, memperbaharu azam untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dan umat, serta masyarakat dan negara. Tanggungjawab perjuangan ini bertujuan untuk mengangkat kedudukan umat dalam negara dan di persada dunia, mendaulatkan syariah dalam kehidupan, menyantuni umat manusia dengan suluhan cahayanya serta memenangkan Islam agar memimpin dunia dan manusia sejagat.

Kita yang hadir pada hari ini adalah golongan yang memiliki kesedaran, sesuai dengan bicara pada pagi yang penuh barakah ini yang juga menuntut kepedulian tahap tinggi serta keazaman yang melangit bagi membincangkan pendekatan yang perlu diambil bagi memacu perubahan dalam masyarakat dan negara.  Pelbagai usaha perlu dibuat dengan mengerah tenaga dan keringat, tanpa rasa lelah dan putus asa bagi mencapai seluruh sasaran perjuangan menjelang tahun-tahun yang akan datang.

Mendepani kita dewasa ini, beberapa cabaran dalam negara dan tentangan dari luar negara. Negara terus berhadapan dengan kemelut yang semakin meruncing dan dunia terus-menerus berhadapan dengan krisis yang mengancam keselamatan dan kestabilannya.

Dengan kesedaran tentang betapa pentingnya untuk kita keluar dari kemelut itu dan meneruskan kehidupan sebagaimana yang yang dikehendaki oleh Allah SWT, maka pada hari ini, kita akan membicarakan satu tema penting yang menjadi tema perhimpunan pada kali ini, iaitu “Siasah Syar’iyyah dalam Pembangunan Negara Rahmah”.

2.0 Pengenalan Siasah Syar’iyyah

2.1 Definisi

Istilah siasah syar’iyyah lahir daripada gabungan dua perkataan, iaitu siasah dan syar’iyyah. Siasah mengandungi makna pengurusan, syar’iyyah pula mengandungi makna perundangan Islam. Gabungan kedua-dua perkataan itu boleh membawa makna daripada sudut bahasanya kepada: “Pengurusan yang berlandaskan perundangan Islam”.

Secara semantiknya, gabungan kedua-dua perkataan ini boleh membawa pengertian daripada sudut teknikalnya kepada “Pengurusan/tata kelola yang berlandaskan perundangan Islam”.

Perkataan siasah secara literalnya memanglah tidak ada disebut secara spesifik dalam al-Quran, tetapi mafhum dan kandungannya disentuh menerusi istilah-istilah yang lain seperti istilah al-mulk ) ( الملك , at-tamkin ( التمكين ) dan istikhlaf (استخلاف  ) seperti dalam firman Allah SWT berikut:

فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَآتَيْنَاهُمْ مُلْكًا عَظِيمًا 

“Sungguh, Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah (kenabian) kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar.” (Surah an-Nisaa’: 54)

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَآتَوْا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنْ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ

“Orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41 )

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لاَ يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَاسِقُونَ

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan mengerjakan amal soleh, bahwa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai (Islam). Dan Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nuur: 55) (1)

Daripada sudut istilahnya pula, ia membawa makna: “Pengurusan/tata kelola seorang imam (pemimpin) yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh rakyat (hal ehwal kenegaraan) berasaskan tuntutan-tuntutan syariah.(2)

Daripada sudut pendirian para fuqaha pula, kandungan siasah syar’iyyah berkaitan dengan “Perkara-perkara yang berhubung kait dengan kepentingan dan hal ehwal rakyat, penyempurnaan hak-hak dan tanggungjawab kepada mereka dan yang seumpamanya.

Satu penjelasan yang terbaik tentangnya telah dikemukakan oleh Imam Ibnu al-Qayyim menerusi tulisannya yang panjang lebar dalam dua kitabnya yang masyhur (menjadi karya agungnya); At-Turuq al-Hukmiyyah ( ( الطرق الحكمية dan  I’lam al-Muwaqqi’iin علام الموقعين ) ا  ).

Tulisannya yang panjang itu merupakan komentar beliau kepada perbicaraan Imam Ibnu ‘Aqil berkaitan kemestian pengamalan pendekatan siasah syar’iyyah dalam pemerintahan yang disifatkan oleh Ibnu ‘Aqil sebagai: “Sesungguhnya ia (siasah syar’iyyah) adalah sesuatu yang putus, tiada  seorang imam pun tidak berbicara tentangnya (kemestian mengamalkannya)”.

Imam al-Syafie juga dicatatkan telah berkata: “Tiada siasah (syar’iyyah) melainkan apa yang selari dengan syariah.”

Ibnu ‘Aqil pula berkata: “Siasah (syar’iyyah) ialah apa-apa tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan, lebih jauh daripada kerosakan, walaupun ia tidak  diletakkan  oleh ar-Rasul dan tidak turun dengannya suatu wahyu.”

Kalam hikmah Ibnu ‘Aqil ini merupakan satu pembentangan lapangan siasah syar’iyyah yang mencerminkan kepentingan dan keperluan konsep dan prinsip ini dalam kehidupan Muslim. Definisi tersebut dengan tegas menyatakan wujudnya ruang neutral yang dinamik serta tidak dogmatik dalam ajaran Islam yang memberikan ruang kepada kebijaksanaan akal manusia untuk memandu kehidupan mereka berteraskan panduan wahyu.

Definisi tersebut menegaskan bahawa dalam bidang pentadbiran dan tata kelola, syariat Islam telah menyediakan ruang yang luas untuk ijtihad. Selagi mana  sesuatu tindakan atau perbuatan dalam bidang tersebut tidak menyalahi syariah, maka ia dianggap sebagai syar’iyy ataupun diterima oleh syarak.

Ruang ijtihad ini selari dengan konsep ‘Ibahah al-Asliyyah’ dalam ruang muamalat (kehidupan seharian) Muslim sepertimana yang telah ditegaskan oleh para ulama Usul al-Fiqh. ‘Ibahah al-Asliyyah’ yang dimaksudkan di sini ialah: “Sesuatu perbuatan ataupun tidakan itu hukumnya adalah harus selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak” yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.”

Hal ini selari dengan apa yang telah diolahkan oleh pemikir terkemuka Tunisia pada masa kini, Dr Rashid al-Ghannouchi, bahawa ruang politik yang melibatkan pentadbiran dan tata kelola sebagai ruang ‘faraghaat = الفراغات’ ataupun vakum, yang mana Allah SWT memberikan autonomi kepada Muslim untuk melakukan ijtihad selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak, seperti yang diungkapkan oleh Ibnu ‘Aqil: “Tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan, lebih jauh daripada kerosakan, walaupun ia tidak diletakkan oleh ar-Rasul dan tidak turun dengannya suatu wahyu.”

Bertitik tolak daripada kefahaman mendalam dan meluas terhadap siasah syar’iyyah seperti ini, maka, jika ada yang mengatakan bahawa siasah (syar’iyyah) ialah apa yang telah ditetapkan oleh syariah secara dogma melalui teks-teks wahyu semata-mata, makna itu adalah silap.

Malah premis seperti itu juga bersalahan dengan pendirian dan sikap para sahabat yang telah banyak mendepani cabaran dalam urusan pentadbiran dan tata kelola dengan menggunakan pendekatan siasah syar’iyyah.

Kefahaman yang sama juga dapat dilihat dalam penghuraian ulama kurun kelapan Hijrah, Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah dalam penegasannya mengenai siasah syar’iyyah.

Definisi tersebut dengan tegas menyatakan wujudnya ruang neutral yang dinamik serta tidak dogmatik dalam ajaran Islam yang memberikan ruang kepada kebijaksanaan akal manusia untuk memandu kehidupan mereka berteraskan panduan wahyu.

“Sesungguhnya Allah SWT telah mengutus para Rasul-Nya dan menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia menegakkan keadilan iaitu keadilan yang berdiri dengannya bumi dan langit-langit. Maka sewaktu telah jelas petanda-petanda keadilan, sewaktu ia telah menampakkan wajahnya dengan apa jalan sekalipun, maka di sanalah Syariat Allah dan Deen-Nya. Allah SWT yang Maha Suci itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil daripada membataskan jalan-jalan keadilan, petanda-petandanya dan panji-panjinya dengan sesuatu.

“Kemudian menafikan (keadilan) daripada apa-apa yang jalan-jalannya, petanda-petandanya dan panji-panjinya lebih jelas daripada (sesuatu tersebut), lebih kuat tunjukannya, lebih terang petandanya, lalu Dia tidak menjadikannya sebahagian daripadanya (jalan-jalan, petanda-petanda dan panji-panji keadilan) dan tidak menghukum pada waktu kewujudan dan keberadaannya dengan yang sepatutnya (hukum yang adil).

“Bahkan Allah SWT telah menerangkan menerusi apa yang Dia telah syariatkan daripada jalan-jalan tersebut, bahawa maksudnya ialah penegakan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya, manusia menegakkan keadilan, lantaran apa-apa jalan yang boleh melahirkan keadilan maka ia adalah sebahagian daripada ad-Deen (agama), tidak menyalahinya.”

Imam Ibnu al-Qayyim selanjutnya menegaskan: “Maka tidak boleh dikatakan: “Sesungguhnya siasah yang adil itu menyalahi apa yang telah diucapkan oleh syariah”, bahkan ia sejajar dengan apa yang telah dibawanya, bahkan ia sebahagian daripadanya, dan kami menamakannya siasah lantaran mengikut istilah kamu, sedangkan ia sebenarnya adalah keadilan Allah dan Rasul-Nya, yang telah tampak jelas menerusi petanda-petanda dan alamat-alamat tersebut” (3).

2.2 Skop Siasah Syar’iyyah

Ruang siasah syar’iyyah melingkupi seluruh bidang kehidupan manusia yang perlu disusun oleh pihak pemerintah negara Islam termasuk bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan dan kehakiman, hubungan antarbangsa, perang atau damai dan lain-lain.

Banyak langkah yang perlu dibangunkan dalam sesebuah pemerintah negara Islam bagi mengamankan dan memakmurkan situasi dalam negara, menangkis ancaman dari dalam dan luar, meramaikan kawan serta mengurangkan lawan atau musuh.  Kedudukan Islam dan umat diperteguhkan hari demi hari di semua peringkat dan tahap dan dalam semua bidang. Negara dan umat terus dikembangkan sehingga menjadi negara dan umat yang kuat dan maju.

Dalam rangka membangunkan sejarah baru, adalah satu kewajipan untuk kita melihat pengalaman masa silam yang dicatat dalam penulisan ulama-ulama terdahulu.

Kalau kita lihat kepada penulisan-penulisan ulama terdahulu, terdapat banyak karya dan penulisan mereka berkaitan siasah syar’iyyah yang menyentuh berbagai-bagai bidang kehidupan bernegara umat Islam bagi situasi damai atau perang. Lihat sajalah karya-karya penulisan berikut:

1. Bidang politik:

  • Al-Ahkam as-Sultaniyyah (al-Mawardi)
  • Al-Ahkam as-Sultaniyyah (Abu Ya’la al-Farra’)
  • Siasat Nameh (Wazir Nizam al-Muluk)
  • Al-Ghiyasi (Imam al-Haramain al-Juwaini)
  • Nasihat al-Muluk (Imam al-Ghazali)
  • As-Siasah asy-Syar’iyyah (Imam Ibnu Taimiyyah)
  • At-Turuq al-Hukmiyyah (Imam Ibnu al-Qayyim)
  • Tabsiratul al-Hukkam (Ibnu Farhun)
  • Tahrir al-Ahkam (Ibnu Jamaah)
  • Mu’in al-Hukkam (at-Tarabulasi) …dan lain-lain

2. Bidang siasah kewangan:

  • Al-Kharaj (Abu Yusuf)
  • Al-Kharaj (Yahya bin Adam)
  • Al-Amwal (Abu Ubaid al-Qasim bin Salam)
  • Al-Amwal ( Ibnu Zanjaweh)
  • Al-Amwal ( Ahmad bin Nasr ad-Dawuudi)
  • Al-Istikhraj fi Ahkam Al-Kharaj (Ibnu Rajab)
  • Al-Hisbah (Imam Ibnu Taimiyyah)

3. Bidang Siasah Perundangan dan Kehakiman

Ia telah dibicarakan dan dibahaskan dengan panjang lebar dalam banyak kitab fiqh berbagai-bagai mazhab oleh para fuqaha mereka yang tersohor, sekurang-kurangnya pandangan-pandangan mereka termasuk antara tiga kategori pandangan:  (4)

  • Pandangan yang keras, menyempitkan (mudhai’yaq = مضيق (
  • Pandangan yang lembut, melapangkan (muwassa’ = موسع  )
  • Pandangan yang sederhana, pertengahan (wasata = وسطا  )

4. Beberapa bidang lain yang boleh dikaji

2.3 Bentuk Politik yang Diamalkan Manusia

Sepanjang sejarah kehidupan manusia, bentuk siasah yang telah mereka amalkan dalam mengurus kehidupan rakyat dan perjalanan negara mereka tidak lari daripada salah satu daripada tiga bentuk siasah iaitu siasah syar’iyyah, siasah ‘aqliyyah dan siasah tab’iyyah.

Siasah syar’iyyah ialah siasah berasaskan unjuran-unjuran dan panduan-panduan daripada perundangan Islam. Siasah ‘aqliyyah pula ialah siasah berasaskan unjuran-unjuran dan panduan-panduan yang dicetuskan akal pemikiran manusia semata-mata, sedangkan siasah tab’iyyah pula adalah siasah yang lahir daripada rangsangan tabiat manusia sendiri, naluri marah atau naluri sukanya.

a.  Siasah Syar’iyyah

Siasah yang menjamin keadilan ialah siasah syar’iyyah lantaran ia lahir daripada unjuran wahyu dan ijtihad fiqhi yang dipandu nas wahyu atau rohnya bukan tercerna daripada unjuran akal atau nafsu manusia semata-mata. Ia berbekalkan satu pertimbangan yang menyeluruh, terbaik yang mampu dicerna akal manusia yang terasuh dengan asuhan terbaik dalam kalangan mereka.

b.  Siasah ‘Aqliyyah

Siasah ‘aqliyyah pula kadang-kadang dapat melahirkan siasah yang adil, tetapi bukan pada setiap masa lantaran keterbatasan akal manusia itu sendiri dan juga lantaran ia pada banyak keadaan tidak dapat lepas bebas daripada belenggu hawa nafsu.

c.  Siasah Tab’iyyah

Siasah tab’iyah pula sudah pasti tidak akan dapat sama sekali menjana siasah yang adil lantaran ia lahir daripada dorongan naluri suka atau marah manusia yang tidak menentu, mengikut mood yang sentiasa berubah-ubah, yang tidak akan membolehkannya mencerna keputusan yang baik dalam semua keadaan.

2.4 Komponen Siasah Syar’iyyah

a. Thawabit dan Mutaghayyirat / Qat’iyyat dan Dzanniyyat: 

Thawabit =  ثوابت / Qat’iyyat =  قطعيات  (yang tetap dan yang putus):

  • Negara Islam contoh dalam Islam ialah: “Negara khilafah yang adil”.
  • Keabsahan/legitimasi seorang khalifah/ketua negara lahir daripada pemilihan umat, lantaran itulah para ulama Sunni menegaskan: “Imam atau khalifah dilantik menerusi pemilihan umat.”
  • Hak pemerintah ialah: “Ditaati dan didukung.“
  • Hak rakyat: “Dirunding dan penegakan keadilan ke atasnya.”
  • Khalifah dalam Islam menghimpunkan kepemimpinan politik dan kepemimpinan spiritual bagi umat.

Mutaghayyirat =  متغيرات  / Dzanniyat =  ظنيات  (yang berubah-ubah dan agakan):

  • Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen atau demokrasi berpresiden.
  • Pelantikan setiap ketua negara bagi tempoh pemerintahan tidak melebihi dua penggal.
  • Khalifah boleh saja dilantik daripada kalangan pemimpin yang baik/soleh walaupun dalam kewujudan pemimpin yang terbaik sewaktu ia dapat menjayakan matlamat perlantikan seorang khalifah pada situasi zaman itu seperti kesatuan umat, perdamaian dalaman dan keutuhan /kestabilan negara.
  • Negara mempunyai dua dewan legislatif (Dewan Rakyat Dan Dewan Senat) atau satu dewan sahaja (Dewan Rakyat).

b.  Nassi dan Ijtihadi: 

Nassi =  نصى (berasaskan nas-nas):

  • Pemimpin mesti datang daripada kalangan orang yang kuat dan beramanah.
  • Pemilihan barisan kepemimpinan umat dan negara merupakan satu amanah yang mesti di sempurnakan dengan sebaik-baiknya, bersih, telus dan adil.
  • Pengurusan perjalanan negara dan kehidupan rakyat mestilah dengan penuh amanah, bersih dan adil, tanpa ketirisan dan penyelewengan. 

Ijtihadi =   اجتهادى(berasaskan ijtihad):

  • Pemilihan kepemimpinan negara menerusi pungutan suara atau  menerusi pemilihan dewan perwakilan rakyat.
  • Mengamalkan sistem berbagai-bagai parti atau sistem dwiparti.
  • Membangunkan negara kesatuan umat Islam di Asia dan Afrika.
  • Mewajibkan semua rakyat yang berumur 20 tahun mengikuti latihan ketenteraan selama dua tahun.

c. Furu’ Ahkam Syar’iyyah (Pecahan Hukum Syar’iyyah) 

Wajib:

  • Negara mesti mempunyai ketua negara.
  • Negara diurus tadbir berasaskan satu strategi yang terbaik.
  • Mempelopori usaha-usaha dakwah Islamiah global.
  • Mempelopori usaha-usaha kebangkitan umat sejagat.

Sunat:

  • Membantu masyarakat Islam sejagat menerusi bantuan-bantuan pendidikan dan kemudahan-kemudahan kewangan.

Haram:

  • Menyokong Israel, atau musuh-musuh umat di persada dunia menerusi berbagai-bagai bentuk sokongan, material atau spiritual.
  • Membiarkan negara terus dicengkam sistem-sistem kehidupan yang tidak patuh syariah seperti sistem ekonomi kapitalis yang membenarkan kegiatan-kegiatan yang terlarang berleluasa seperti penipuan, perjudian, riba, pemaksaan harga yang tidak adil dalam kegiatan-kegiatan perniagaan dan perdagangan dan lain-lain.

Harus:

  • Memperluaskan hubungan dagang dengan seluruh negara di peringkat antarabangsa, merebut peluang-peluang perniagaan dan penjanaan keuntungan ekonomi daripada hubungan tersebut daripada pelbagai sumber dan pihak.
  • Membawa masuk secara terpilih pelbagai pengetahuan baru, perusahaan baru, teknologi baru yang akan dapat mengangkat tingkat perkembangan rakyat Malaysia hasil pendedahan tersebut kepada tingkatan pembelajaran yang lebih dalam dan meluas, tahap penguasaan, kreaviti dan inovasi yang lebih tinggi bagi memajukan negara dengan lebih cepat lagi pada masa hadapan.

Makruh:

  • Berbelanja berlebihan dalam menjayakan mesyuarat kabinet menteri pusat, exco kerajaan negeri, jabatan kerajaan, penyediaan skema penggajian dan elaun-elaun tambahan menteri, pengarah GLC dan pegawai pentadbiran awam dan separuh awam negara dan yang seumpamanya yang keterlaluan.

3.0 Pembangunan Siasah Syar’iyyah (5)

3.1 Keupayaan Pemimpin

Pembangunan siasah syar’iyyah dalam menangani berbagai-bagai permasalahan manusia dan negara pada satu-satu keadaan atau masa menuntut seorang pemimpin yang faqih atau mujtahid memiliki keupayaan-keupayaan berikut:

a. Pemahaman Nas-nas Wahyu dan Maqasidnya

Keupayaan pertama ialah memahami nas-nas wahyu dan maqasidnya dengan satu pemahaman yang mendalam mencakupi berbagai-bagai dimensi ayat atau nas-nas tersebut; makna, maksud, tujuan, unjuran, semangat yang dibawanya, roh di belakangnya, hukum yang dapat dijana daripadanya dan hikmah daripada pelaksanaannya.

b. Menegakkan Maslahah Manusia dan Alam secara Mutlak

Keupayaan kedua ialah keupayaan menegakkan maslahah manusia dan alam secara mutlak serta menangkis kemudaratan dalam semua keadaan dan pada setiap masa menerusi pendekatan-pendekatan, solusi-solusi patuh syariah yang dikemukakan bagi menangani semua isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat dan negara, manusia, dunia dan alam, hasil daripada pemahaman yang tepat terhadap pemasalahan yang dihadapi, juga pemahaman nas-nas yang berkaitan dengannya, pemilikan kebijaksanaan/ penyelesaian yang patuh syariah bagi menanganinya secara menyeluruh untuk jangka pendek dan panjang, bagi kepentingan generasi masa kini dan generasi masa depan.

c.  Pertimbangan yang Tepat Terhadap Impak

Keupayaan ketiga ialah pemilikan pertimbangan yang tepat terhadap impak yang akan menimpa masyarakat, rakyat, manusia, persekitaran, negara, dunia dan alam.  Apakah keadaan akan bertambah baik atau buruk selepas ini? Impak baikkah atau buruk yang akan terhasil pada masa hadapan? Pertimbangan-pertimbangan ini perlu didukung dengan data, fakta, maklumat-maklumat dan kajian-kajian yang meyakinkan.

d.  Penggabungan antara Kulliyah ‘Ammah Syariah dan Dalil-dalil Khusus

Keupayaan keempat pula ialah keupayaan menggabungkan kulliyah ‘ammah syariah dengan dalil-dalil khusus. Ia adalah hasil daripada pemahaman, penguasaan seorang pemimpin yang faqih itu terhadap kerangka kasar kandungan syariah dan dalil-dalil khusus yang menyentuh sesuatu isu yang dihadapi rakyat atau negara, yang mana kedua-duanya saling mendukung antara satu sama lain.

Keupayaan ini ada dalam diri seseorang pemimpin yang faqih atau mujtahid sewaktu ia memiliki gambaran perdana (big picture) syariah tatkala berhadapan dengan kes-kes khas, sama ada ia didukung oleh dalil-dalil khas atau tidak sewaktu dia ingin mengemukakan solusi-solusi patuh syariah untuk kes-kes ini.

3.2 Landasan Siasah Syar’iyyah

Pertimbangan atau penilaian berasaskan Maqasid Syariah berhadapan dengan isu-isu atau permasalahan yang hendak ditangani merupakan landasan kepada pendekatan, tindakan siasah syar’iyyah yang akan dilakukan oleh seorang pemimpin negara yang faqih atau mujtahid.

Maqasid di sini berdiri sebagai neraca penimbang dalam menentukan sesuatu keputusan, neraca kebijakan kepada setiap polisi dan pendirian berhadapan dengan pelbagai isu kehidupan. Ia amat penting dalam proses ijtihad bagi menghasilkan fatwa dan keputusan terbaik, lantaran itu ia juga merupakan asas penting bagi pertimbangan siasah syar’iyyah.

Pengetahuan terhadap maqasid syariah secara menyeluruh, termasuk  kepastian terhadap maqasid syariah di belakang setiap hukum, peraturan atau perundangan Islam, berbagai-bagai kategorinya dan impak daripada setiap kategori tersebut, faktor-faktor yang menyebabkan impak-impak tersebut, penentuan peringkat-peringkat dan keutamaan-keutamaannya amat penting dalam menyingkap langkah-langkah terbaik, jawapan-jawapan yang paling tepat mendepani kes-kes yang dihadapi.

Ia amat membantu pengkaji-pengkaji hukum, fuqaha, ilmuan dan pemimpin Islam dalam membuat keputusan, mengeluarkan fatwa yang sejajar dengan pertimbangan berasaskan maqasid syariah berhadapan dengan persoalan-persoalan yang dihadapi manusia dan dunia.

3.3 Bidang-Bidang Liputan Maqasid (6)

Dalam kajian-kajian ulama dan fuqaha, perkara-perkara yang telah mereka sebut-sebut sebagai matlamat-matlamat syariah yang perlu dipelihara, disuburkan dan dikekalkan ialah:

Pertama: Pemeliharaan Nilai-nilai Kehidupan Manusia

Pemeliharaan agama dan pegangan hidup manusia serta pengukuhannya dilaksanakan menerusi penyediaan sebab-sebabnya seperti:

  • Pemudahan pengamalannya.
  • Penyebaran dakwahnya.
  • Pengembangan keupayaan dan aktiviti ijtihad ulamanya.
  • Penggunaan kuasa pemerintah bagi memeliharanya.

Ia juga dapat dijayakan menerusi penyingkiran halangan-halangan terhadap pemeliharaan agama tersebut seperti:

  • Rangsangan hawa nafsu dan kegiatan maksiat.
  • Paksaan pemikiran.
  • Penyelewengan/ajaran sesat dan bid’ah.
  • Ancaman-ancaman musuh yang terang dan tersembunyi terhadap Islam.
  • Menerusi jihad bagi mempertahankannya.

Kedua: Pemeliharaan Kemanusian Manusia

i. Fitrah manusia (unsur-unsur asli pembentukan manusia/ asal kejadiannya)

Pemeliharaan dan pengukuhan fitrah manusia menerusi pergerakan seluruh unsur-unsur pembentukan dirinya secara berimbangan, saling melengkapi antara satu dengan yang lain pada setiap masa berasaskan keperluan kemanusiannya sewaktu ia melaksanakan tugasannya sebagai manusia yang sempurna.

Pemeliharaannya dapat dijayakan dalam suasana-suasana berikut:

  • Selamat daripada penukaran dan pengubahan.
  • Pelayanan keperluannya secara berimbangan.
  • Seluruh aktiviti unsur-unsur asal kejadiannya (fitrahnya) berjalan secara berimbangan. 

ii. Kemuliaan Dirinya

Manusia telah dicipta oleh Allah SWT  sebagai makhluk-Nya yang paling istimewa, unsur kejadiannya terdiri daripada gabungan unsur bumi dan unsur langit, dari tanah di bumi dan roh dari langit yang ditiupkan ke dalam tubuhnya, berkedudukannya sebagai khalifah di muka bumi dan berperanan mengabdikan diri kepada penciptanya, memakmurkan bumi dan dunia, melakukan amal-amal soleh sepanjang kehidupannya, makhluk yang lain selain daripada dirinya, alam semesta telah dicipta Allah SWT untuk kegunaan manusia semasa hidup di dunia ini.

Dengan memilikki unsur-unsur tersebut, manusia telah dicipta Allah SWT sebagai makhluk yang mulia, memiliki kemulian diri yang perlu dipelihara sepenuhnya, tanpa dicerobohi, ditindas, dihina atau diperhambakan. Satu keadaan yang akan menjadikannya yakin dengan kemuliaan dirinya, dapat hidup, berkembang, bergerak maju ke hadapan membina dunia dan kehidupan, lingkungan dan persekitaran yang lebih makmur, lebih ceria, sihat dan aman damai.   

iii. Kebebasannya

Manusia sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang paling istimewa dibekalkan dengan keupayaan boleh berfikir dan memilih, tidak seperti makhluk-makhluk yang selainnya. Dirinya bebas daripada paksaan, bebas beragama atau tidak beragama, bebas berfikir, bebas bersuara, bebas bekerja, bebas bergerak, kebebasan peribadinya dalam memenuhi keperluan peribadinya daripada pelbagai sudut seperti makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal dan seterusnya, semuanya terpelihara, perlu dipertahankan dan ada masa-masanya perlu disusun bersama-sama dengan keperluan-keperluan jiran tetangga dan pihak-pihak yang sama sepertinya.

Syariah menjadikan unsur-unsur kebebasan di atas dan yang seumpama dengannya sebagai hak setiap manusia, wajib dipelihara, tidak boleh dicerobohi. Pencerobohan terhadapnya dianggap sebagai sebahagian daripada tindakan jenayah, satu kesalahan yang mendatangkan hukuman seksaan terhadap pencerobohnya.

 iv. Misi Kewujudannya

Sebagai makhluk yang istimewa, manusia memikul amanah yang besar, menjadi khalifah, membuat kebaikan, memakmurkan dunia dan kehidupan. Kedudukan khusus manusia ini perlulah dipelihara sepanjang masa, disuburkan, tidak diganggu atau dihalangi agar dia akan terus berperanan sebagai hamba Allah SWT yang soleh sepanjang kehidupannya, dunia tidak dirosakkan, alam semesta tidak dicemari dengan kegiatan-kegiatan mungkar hamba-hamba Allah SWT yang derhaka dan mengkufuri nikmatnya.

Ketiga:  Pemeliharaan Diri Manusia

  1. Pemeliharaan tubuh/jasad manusia menerusi:
  • Pembekalan sebab-sebab/faktor mampu hidup dan mampu kuat seperti makanan, minuman, pakaian dan rumah kediaman.
  • Pemilikan keupayaan menghadapi ancaman terhadap kewujudan dan kelangsungan hidupnya seperti penyakit, serangan haiwan liar atau bencana alam.
  1. Pemeliharaan dan penyuburan jiwanya menerusi:
  • Penyucian jiwa melalui aktiviti ibadah dan amal-amal soleh.
  • Penenang jiwa yang akan dapat memelihara jiwanya daripada ketakutan, keresahan dan kerunsingan.
  1. Pemeliharaan akal/ minda manusia menerusi:
  • Pengaktifan daya fikirnya.
  • Usaha-usaha pembelajaran.
  1. Pemeliharaan psikologinya menerusi:
  • Pertumbuhan dan pembesarannya yang sihat.
  • Lingkungan kehidupannya yang penuh keceriaan.
  • Bebas daripada tekanan-tekanan kehidupan (stress).

Keempat:  Pemeliharaan Organisasi Masyarakat Manusia

  1. Pemeliharaan keturunannya menerusi:
  • Pembiakan bilangan anggota keluarga.
  • Pemeliharaan titisan keluarga (family trees).
  1. Pemeliharaan institusi dan lembaga kemasyarakatan:
  • Pemeliharaan institusi kemasyarakatan menerusi:
    • Pembudayaan hidup bermasyarakat.
    • Pemeliharaan dan pengukuhan institusi keluarga.
    • Pemeliharaan dan pengukuhan institusi negara.
  • Pemeliharaan hubungan kemasyarakatan menerusi:
    • Pengukuhan ikatan persaudaraan.
    • Penegakan neraca /timbangan keadilan.
    • Pengukuhan hubungan takaful, saling menolong.

Institusi-institusi kemasyarakatan merangkumi:

  1. Institusi yang tabii
  • Institusi keluarga.
  • Institusi masyarakat dan warga.
  1. Institusi yang sah/legal
  • Institusi-institusi kenegaraan: legislatif, eksekutif dan kehakiman.
  • Institusi pengurusan.
  • Institusi keselamatan …dan lain-lain.

Kelima:  Pemeliharaan Persekitaran Kehidupan Manusia

  1. Pemeliharaan harta dan pemilikannya yang dilakukan menerusi:
  • Kegiatan bekerja atau berusaha mencari rezeki.
  • Pemeliharaan pemilikan.
  • Pemeliharaan harta daripada kebinasaan atau kerosakan.
  • Pemeliharaan nilai dan harga harta tersebut.
  • Pemeliharaannya menerusi peredarannya dalam pasaran.
  1. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia yang dilakukan menerusi:
  • Pemeliharaan persekitaran daripada kerosakan.
  • Pemeliharaannya daripada pencemaran.
  • Pemeliharaannya daripada penggunaan yang melampau.
  • Pemeliharaannya menerusi kegiatan dan aktiviti pembangunan.

Lingkungan dan persekitaran kehidupan manusia meliputi:

  • Lingkungan manusia: peribadi – keluarga – keluarga besar – masyarakat – warga – masyarakat serantau dan manusia sejagat.
  • Lingkungan tempat: rumah kediaman – kampung – daerah – negeri – negara – rantau dan dunia.
  • Lingkungan masa: Sekarang (generasi kini) – masa depan dan akan datang (generasi-generasi seterusnya).

Secara ringkas, tuntutan-tuntutan atau matlamat-matlamat syariah (maqasid syariah) ialah memelihara, menyuburkan dan mempertahankan enam perkara berikut:

  • Agama
  • Nyawa atau anggota manusia
  • Kehormatan, maruah manusia dan keturunannya
  • Akal
  • Harta
  • Persekitaran kehidupan manusia (negara dan dunia)

4.0 Contoh Daripada Sejarah: Siasah Syar’iyyah Umar bin Al-Khattab RA 

4.1 Kenapa Umar yang dipilih?

Siasah syar’iyyah yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab RA sepanjang pemerintahannya selama 10 tahun sesudah kewafatan khalifah pertama negara Islam, Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA dapat dilihat sebagai contoh siasah syar’iyyah terbaik pernah dilahirkan oleh seorang pemerintah Islam sepanjang sejarah.

Ia bertepatan dengan kedudukan Umar RA sebagai seorang sahabat Rasulullah SAW yang memiliki keperibadian, kebolehan yang tersohor, keistimewaan-keistimewaan yang paling sempurna dalam diri seorang pemimpin umat.

Beliau merupakan seorang yang memperoleh ilham seperti para nabi dan rasul, seperti yang diriwayatkan dalam Sahih at-Tirmidzi bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Kalau aku tidak diutuskan kepada kamu (sebagai rasul), nescaya Umar akan diutuskan kepada kamu (sebagai rasul).”

Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Wujud pada umat-umat terdahulu golongan muhaddathun(7)    ((محدثون iaitu yang memperoleh ilham lalu berbicara dengannya (sebagai sebahagian daripada kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih). Jika ada seseorang seperti itu dalam kalangan umatku, maka dia adalah Umar.” 

Dan dalam sunnah disebutkan juga pesanan Rasulullah SAW: “Ikutilah selepasku dua peribadi – Abu Bakar dan Umar.” (8)

Berasaskan kelebihan-kelebihan tersebut, Saidina Umar RA dilihat sebagai seorang pemimpin yang amat kuat, berani dan tegas, berupaya menyusun negara khilafah dengan cemerlang, menundukkan kedua-dua kuasa dunia pada zamannya iaitu Empayar Rom dan Parsi dalam satu masa serta melumpuhkannya, memperluas daerah kekuasaan negara Islam ke satu kawasan yang amat luas sehingga mencakupi benua Asia dan Afrika.

Kesemua kejayaan ini dapat dicapai oleh Umar RA menerusi pengamalan siasah syar’iyyah yang lahir daripada kebijaksanaan yang tinggi, integriti yang utuh dalam memikul amanah kepimpinan negara, siasah syar’iyyah yang berkembang sejajar dengan perkembangan rakyat dan negara, mendepani dunia pada masa tersebut. Kesemuanya itu dapat berlaku berasaskan:

  1. Ijtihad dan fiqh yang dalam.
  2. Bacaan yang menyeluruh dan tepat.
  3. Melihat dengan tepat kepada impak.
  4. Budaya berunding dengan para sahabat yang terkemuka.
  5. Berpegang kepada maslahah yang qat’i.
  6. Pertimbangan antara maslahah dan mafsadah, menangkis mafsadah terlebih dahulu ( دفع المضرة مقدم على جلب المصالح  ).
  7. Pertimbangan antara maslahah atau mafsadah yang saling bertentangan dan saling berubah-ubah, dalam keadaan sebegini beliau menggunakan formula fiqh keutamaan ( فقه الأولويات ) dan formula fiqh pertimbangan (فقه الموازنات ).
  8. Pertimbangan antara qat’iyyat dan dzan’niyyat sejajar dengan keadaan.
  9. Pertimbangan maqasid syariah.

4.2 Tindakan-Tindakan Bijak Berasaskan Siasah Syar’iyyah yang Pernah Dilakukan Umar RA

  • Pemecatan Khalid bin Al-Walid RA daripada kedudukannya sebagai panglima tentera Islam di medan perang al-Yarmouk.
  • Memastikan semua sahabat Rasulullah SAW yang berpengaruh berada di pusat pemerintahan, Makkah dan Madinah.
  • Melantik petugas-petugas yang berkelayakan sebagai petugas-petugas awam.
  • Menyusun pentadbiran negara menerusi sistem dawawin (دواوين  = jabatan-jabatan ).
  • Negara hanya mempunyai satu pusat pemerintahan, arahan dan rujukan.
  • Semua rakyat disantuni sebagai warga negara yang setaraf secara adil.
  • Pengagihan pendapatan negara dilakukan selaras dengan pengorbanan umat dan keperluan rakyat.
  • Semak imbang terhadap pegawai-pegawai atasan, gabenor-gabenor wilayah, panglima-panglima tentera dan pegawai-pegawai yang memungut zakat dan hasil negara. Memastikan harta kepunyaan mereka pada tarikh akhir persaraan mereka tidak melebihi jumlah pendapatan yang sepatutnya mereka peroleh.
  • Bumi atau wilayah yang dimenangi dari negara-negara musuh seperti wilayah subur di delta Sungai Dajlah (Tigres) dan Furat di Iraq tidak diagih-agihkan kepada tentera yang membebaskannya tetapi diletakkan di bawah pemilikan negara.
  • Menghentikan pelaksanaan hukuman potong tangan ke atas golongan pencuri sewaktu negara berhadapan dengan situasi kemarau yang menjejaskan kehidupan rakyat umum.
  • Perang jihad terhadap rejim-rejim zalim terus dilangsungkan sepanjang pemerintahan Umar RA kecuali dalam keadaan mereka telah mengadakan perjanjian damai dengan negara Islam.
  • Memikul tanggungjawab kepemimpinan secara langsung dengan dirinya sendiri melaksanakannya.
  • Melantik orang-orang soleh memimpin rakyat dan negara. 

5.0 Inisiatif Siasah Syar’iyah dalam Membangunkan Negara Rahmah

5.1 Pembangunan Mengikut Tahap

Berhadapan dengan situasi masyarakat dan negara Malaysia masa kini yang berhadapan dengan berbagai-bagai kemelut yang menuntut penyelesaian yang menyeluruh dan mendasar, banyak inisiatif siasah syar’iyyah yang perlu kita lakukan bagi mendepani dan mengatasi cabaran-cabaran yang perlu kita tangani dengan sebaik-baiknya agar kita dapat memacu perubahan masyarakat dan negara sebagaimana yang kita inginkan secara bertahap-tahap.

Strategi penahapan ini amat perlu kerana pertamanya, ia selari dengan fitrah kemanusiaan dan fitrah alam yang menyaksikan perubahan secara bertahap-tahap menjanjikan kelestarian yang lebih mapan dan impak yang lebih berkesan.

Keduanya, ia selari dengan roh syariat Islam yang sifatnya bertahap-tahap ataupun apa yang disebutkan dalam bahasa Arab sebagai Tadriji atau Tadarruj. Al-Quran diturunkan bertahap-tahap, hukum-hakam diberikan secara bertahap-tahap kepada umat Islam, malah proses perkembangan Islam itu sendiri berlaku bertahap-tahap.

Berinspirasikan roh syariat itulah, IKRAM merasakan bahawa kebijakan-kebijakan siyasah syar’iyyah juga perlu dilakukan secara bertahap-tahap.

Tahap 1  

Pada peringkat awal, inisiatif-inisiatif berikut perlu dilaksanakan:

  • Memperkuat IKRAM sebagai organisasi perjuangan yang mampu memacu perubahan masyarakat dan negara.
  • Memperhebat penglibatan ahli IKRAM dalam kancah politik negara secara berkesan.
  • Menggerakkan organisasi-organisasi masyarakat madani memacu perubahan landskap politik negara ke arah yang lebih baik.
  • Memperkuat sistem dwiparti ke arah landskap politik negara yang lebih baik.
  • Terlibat di lapangan-lapangan bagi membangunkan kecelikan politik rakyat umum.
  • Menabur bakti bagi memperbaiki keadaan kehidupan rakyat umum.
  • Membangunkan permuafakatan dengan semua pemegang taruh dalam negara.
  • Membangunkan hubungan etnik yang harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum.
  • Mendukung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang profesional, adil dan bersih.

Tahap 2

Apabila inisiatif-inisiatif awal telah dilaksanakan dan telah mendatangkan hasil, inisatif tahap kedua pula perlu dilaksanakan. Ia termasuklah:

  • Turut sama menyumbang bagi membangunkan dan memajukan negara serta membantu kerajaan yang bertanggungjawab.
  • Menarik semua pihak ikut serta merungkai permasalahan-permasalahan masyarakat dan negara.
  • Membangunkan kumpulan-kumpulan pemikir (think tanks), pakar-pakar pelbagai bidang yang berwibawa.
  • Menjayakan lompatan-lompatan besar kemajuan negara dalam berbagai-bagai bidang strategiik.
  • Membangunkan hubungan antara bangsa yang baik dengan semua pihak.
  • Membangunkan perkongsian kemakmuran ekonomi secara adil dalam negara dan serantau.
  • Memerangi dan membanteras fahaman-fahaman ekstremisme dan keganasan dalam negara, serantau dan di peringkat global.

Semua inisiatif baru dan inisiatif siasah syar’iyyah terdahulu perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh bagi membolehkan negara dan rakyat keluar daripada kemelut sedia ada, mendapat peluang dan ruang yang lebih selesa bagi memacu negara dan masyarakat ke arah perubahan yang lebih besar iaitu membangunkan Malaysia baru sebagai sebuah ‘Negara Rahmah Mithali’ berteraskan ‘pendekatan siasah syar’iyah yang komprehensif’.

5.2 Ciri-ciri Negara Rahmah Mithali

Negara Rahmah Mithali yang ingin kita bangunkan di Malaysia ialah, sebuah negara rahmah yang dapat menaungi penduduknya, melebarkan naungan tersebut ke bahagian lain dunia secara berperingkat-peringkat pada masa hadapan agar dunia sepenuhnya berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni semua penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban. Ia mengandungi ciri-ciri berikut:

  • Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
  • Sistem pemerintahan yang berdasarkan semak dan imbang yang berkesan.
  • Tadbir urus yang baik.
  • Undang-undang yang baik.
  • Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang.
  • Institusi keluarga yang utuh.
  • Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni.
  • Ekonomi yang mampan.
  • Agihan kekayaan yang saksama.
  • Pembangunan yang lestari.
  • Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara.
  • Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

6.0 Kesimpulan

Bagi mencipta sejarah baru iaitu merealisasikan konsep negara rahmah untuk umat di rantau Asia Pasifik ini, usaha bersepadu perlu dilaksanakan. Tanggungjawab ini perlu digalas dengan penuh keazaman dan iman. Semuanya memerlukan kesungguhan dalam mengerah tenaga, keringat, harta dan pemikiran siang dan malam, serta berjuang habis-habisan bagi menjayakan impian ini.

Disarankan pimpinan-pimpinan IKRAM negeri mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar, wacana, forum dan diskusi ilmiah dalam membincangkan dan membahaskan tajuk ini bagi mengukuhkan lagi kefahaman ahli IKRAM khususnya dan masyarakat amnya.

Sebagai hasil daripada usaha-usaha awal di atas, kita berharap akan  dapat membangunkan satu pelan tindakan strategi yang praktikal untuk IKRAM dan negara, mempersiap barisan kepemimpinan dengan keupayaan-keupayaan membangunkan berbagai-bagai inisiatif siasah syar’iyyah berhadapan dengan permasalahan-permasalahan masyarakat dan negara juga memperoleh dukungan ahli-ahli IKRAM dan masyarakat Malaysia bagi menjayakannya.

Semoga ucaptama hari ini akan mendorong kita semua berusaha menguasai ilmu siasah syar’iyyah bagi mendepani cabaran perjuangan masa hadapan, usaha-usaha kita akan diberkati Allah Rabbul Jalil, perjuangan kita dipimpin taufik dan inayah-Nya, laluan kita dipermudahkan-Nya dan kita akhirnya sampai ke matlamat yang diimpikan.

Sekian dahulu, sehingga kita bertemu dalam kesempatan yang lebih mengujakan pada masa hadapan, salam ukhuwah, salam kasih sayang  untuk semua.

Semoga semua ahli IKRAM, kita semua yang hadir dalam kesempatan PTI 2016 ini akan bertambah kuat, bersatu padu, berkembang maju, sentiasa memberi  khidmat terbaik kepada agama, masyarakat dan umat, negara dan dunia sebagai bekalan amal soleh menuju kehidupan yang abadi di akhirat sana, dirahmati Allah SWT selama-lamanya mewakili umat Muhammad SAW yang terbaik disisi-Nya, insya-Allah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
14 Muharam 1438H / 15 Oktober 2016

*NOTA KAKI

(1) الدين والسياسة , Dr. Yusuf al-Qaradawi, 20, 21
(2) Nota pembelajaran dengan Prof Dr Md Naim Yasin, Jordan, 1992
(3) Ibid, 30-33
(4) Ibid, 23-38
(5) نظرية المقاصد , Dr Ahmad al-Raisuni, 285-312
(6) مقاصد الشريعة بأبعاد جديدة , Dr Abdul Majid an-Najjar, 57-234
(7) لسان العرب , Ibnu Manzur, Jilid 2, 134. Hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
” انه قد كان فيما مصى قبلكم من الأمم محدثون وانه ان كان فى أمتى هذه منهم فانه عمر بن الخطاب ”
(8)ظرية المقاصد , Dr Ahmad al-Raisuni, 62. Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, Imam Ahmad dan lain-lain, al-Albani menghukumnya sebagai hadis hasan:
” عمر و بكر لأبى وأشار بعدى من بالذين فاقتدوا ”

*Muat turun:

  1. Ucaptama PTI 2016
  2. Slaid Ucaptama PTI 2016

Leave a Reply