Jadilah buku yang banyak lembaran walaupun tiada judulnya…
SHAH ALAM – “Jadilah seperti buku yang banyak lembaran walaupun tiada judulnya, jangan jadi seperti buku yang ada judul tapi kosong isinya,” nasihat Dr Salim Segaf al-Jufri, Ketua Majelis Syuro Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, memetik kata-kata hikmah ulama terdahulu kepada para peserta Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2016).
“Kita mahu, walaupun tidak disebut orang tetapi banyak catatan di sisi malaikat. Alangkah bagusnya jika ada kedua-duanya, manusia melihat amalnya, juga catatannya di sisi Allah,” jelasnya ketika berucap dalam perhimpunan tahunan tersebut yang bertemakan “Siasah Syar’iyyah dalam Pembangunan Negara Rahmah” di sini Sabtu lalu.
Katanya mengenai negara rahmah, sekurang-kurangnya seseorang itu perlu menjadi individu yang beri rahmah seperti suami memberi rahmah kepada isteri dan keluarga, bukan menjadi ketakutan kepada mereka.
“Jika dalam rumah gagal (berakhlak), jangan harap berjaya (memberi rahmah) dalam masyarakat dan negara,” tegas Dr Salim.
Menurut beliau, apa yang paling banyak membuatkan orang masuk syurga ialah husnul khuluq, akhlak yang baik di mana masyarakat mesti boleh melihat ciri dan akhlak ini seperti mudah senyum kepada keluarga yang dikira sebagai sedekah.
“Rasulullah SAW menunjukkan jalannya dengan menjadi contoh yang paling baik akhlaknya,” tambah beliau.
Dr Salim turut menggariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam sesebuah negara rahmah iaitu negara tauhid, negara hidayah, negara kebahagiaan, negara komprehensif, negara keseimbangan dan negara kreatif .
Selain itu, negara rahmah juga adalah negara pertumbuhan, negara komplementatif, negara masa depan, negara kesetaraan dan keadilan, dan negara perlindungan.
Dalam konteks menjaga kesejahteraan sesebuah negara, beliau menyarankan agar pelbagai parti politik mesti usahakan kerjasama supaya tidak bertelagah hingga menjadi konflik.
“Indonesia dan Malaysia mesti berganding bahu untuk mewujudkan suasana aman dan kondusif,” ujarnya.
Beliau turut berpesan kepada 3,200 peserta PTI 2016 bahawa setiap sesuatu akan berakhir. Jadi, setiap sesuatu adalah peluang dan kesempatan dan setiap detik yang tanpa apa-apa kebaikan akan menjadi rugi. Beliau menggesa agar kita menguruskan diri setiap saat supaya boleh menyumbang untuk kebaikan.
Dr Salim memetik surah al-Hajj ayat 77 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”
“Rukuk sujud itu sudah amal baik tapi ditambah lagi dengan waf’alul khair , buatlah kebaikan. Maka banyaknya peluang untuk buat kebaikan (seperti) memberi khidmat, memberi makan dan membantu orang susah,” kata beliau.
Beliau menceritakan kisah Imam Hassan al-Basri ketika ditanya tentang apa yang orang yang mati lakukan jika dikembalikan ke dunia, lantas beliau menjawab, pastinya dia (si mati) akan melakukan kebaikan.
“Menangkan dan utamakan Allah dalam ibadah, dalam infak, dalam dakwah kita. Insya-Allah, Allah akan bantu kita,” pesan Dr Salim mengakhiri ucapan beliau.