“Kalau dia boleh membantu isu Palestin, kenapa tidak kita?”

Dr Fauziah kagumi Ann Wright ketuai misi WBG bantu Palestin
26
Oct

“Kalau dia boleh membantu isu Palestin, kenapa tidak kita?”

SHAH ALAM – “Kalau dia boleh membantu isu Palestin, kenapa tidak kita?” soal Dr Fauziah Mohd Hasan kepada para peserta Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2016) mengenai Ann Wright yang berumur 70-an mengetuai misi pelayaran Women’s Boat to Gaza (WBG) dalam perjuangan membebaskan Palestin.

Katanya, kisah Ann Wright yang telah dibedah tulang pinggul pada tahun lepas dan baru pulih daripada pneumonia serta menghidap kanser kulit amat memberi inspirasi kepadanya.

Cabaran tersebut tidak menghalang bekas diplomat ini untuk mengetuai pelayaran dan sentiasa membantu ahli misi yang lain serta tidak mengharapkan pertolongan.

Dr Fauziah turut berkongsi mengenai keputusannya untuk menyertai misi WBG ini meskipun mengalami sakit bahu dan juga telah mendapat tawaran untuk melaksanakan haji. Surah Fussilat ayat 30 sentiasa menjadi motivasi untuk beliau meneruskan perjuangan.

dsc_0494Tambahnya, antara pengajaran yang sepanjang misi ini ialah semangat kesatuan dan kerjasama, saling bantu membantu dan tidak berputus asa atau berkecil hati dalam perbezaan pendapat.

“Misi kita besar, jangan fikir benda kecil, terus berfikir benda besar,” katanya.

Beliau juga berkongsi pengalaman dalam pusingan pertama pelayaran dari Barcelona, Sepanyol ke Ajaccio, Perancis di mana kapal Zaytouna-Oliva diuji dengan ribut dan ombak besar hingga semua ahli misi mengalami mabuk laut.

Walaupun mabuk, beliau terus bangun untuk membantu dan memberikan rawatan dan suntikan kepada yang lain supaya mereka muntah dan pulih daripada mabuk laut.

Dr Fauziah juga tidak menghadapi masalah untuk menjaga solat sepanjang pelayaran mahupun semasa penahanan zionis, dan beliau sentiasa mengambil wudhu’ dengan air sedikit di samping menjaga kebersihan tempat wudhu’ agar tidak jadi fitnah kepada orang lain.

Pelayaran WBG di Laut Meditarranean yang luas dan tidak banyak kapal melaluinya menjadikan tingginya tawakkal seorang Muslim kepada Allah dengan bantuan ombak dan angin.

Tambahnya, ahli-ahli misi non-Muslim juga tinggi keyakinan mereka dalam pelayaran sehingga ada yang tiada wang untuk pulang dan mereka bersungguh-sungguh berjuang untuk Palestin dan kemanusiaan.

dsc_0463“Mereka tidak rela membiarkan anak-anak Palestin dilakukan zalim sebagaimana mereka tidak rela anak-anak mereka dizalimi.

“Mereka tidak akan duduk diam selagi Palestin tidak dibebaskan,” tegas Dr Fauziah.

Seorang lagi ahli misi WBG, Pn Norsham Abu Bakar turut berkongsi persiapan sebelum menyertai pelayaran seperti menyiapkan segala kelengkapan pakaian, telekomunikasi dan lain-lain, dan persiapan fizikal seperti latihan berenang dan menaiki kapal layar oleh MyCARE serta persediaan rohani dan ibadah.

Kata beliau yang menyertai pelayaran WBG dari Ajaccio ke Messina, Itali, Dr Fauziah digelar sebagai ‘Inspector Gadget’ kerana mempunyai peralatan lengkap yang tidak ada pada ahli misi lain seperti kamera GoPro, telefon satelit dan sebagainya.

“Kita datang bawa hadiah pin bunga ros dan juga bandana daripada batik, amat dihargai oleh semua peserta dan dipakai mereka di mana-mana,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pandangan Tun Dr Mahathir tentang sikap sebahagian anak muda yang tidak prihatin dengan isu Palestin dan isu-isu kemanusiaan yang lain bahawa mereka ini terlalu selesa, ibarat ada orang jatuh longkang, orang sekeliling berkata “Itu bukan masalah kita”.

Leave a Reply