Single Blog Title

This is a single blog caption
17
Nov

Rakyat Malaysia diseru ambil tanggungjawab bina Malaysia Baharu

PUTRAJAYA – Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab membina Malaysia Baharu.

Beliau berkata, rakyat boleh mengambil peluang perubahan kerajaan untuk bergerak mengiringi pemerintah melakukan pengislahan negara.

“Rakyat sepatutnya merasa terpanggil untuk ikut serta memikul tanggungjawab membina negara Malaysia Baharu, negara harapan, negara yang lebih baik menaungi semua rakyat.”

Katanya, menuju ke arah itu, negara perlu memiliki modal insan yang bersedia untuk bergerak dalam masyarakat.

Ia perlu dimulakan dengan membantu berperanan dalam bidang pendidikan.

“Masyarakat umum boleh ikut serta menjayakan usaha-usaha yang sedang dilakukan kerajaan baharu terutamanya menerusi langkah-langkah pembaikan dan pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dalam membangunkan modal insan.”

“Ia dapat dibantu menerusi sumbangan idea-idea kumpulan-kumpulan pakar perancangan, pendidikan dan lain-lain serta peruntukan kewangan yang cukup,” katanya di hadapan lebih 3,300 peserta di Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2018.

“Kita perlu membantu kerajaan dengan mengemukakan gagasan-gagasan pemikiran baru agar langkah-langkah pengislahan lahir daripada pelbagai peluang”.

Oleh itu, IKRAM menzahirkan kesudian untuk melibatkan ahlinya secara langsung dalam merealisasikan harapan tersebut.

“Ini dapat dilaksanakan oleh ahli-ahli IKRAM sendiri atau menerusi penglibatan pelbagai institusinya”, tambahnya.

Tahun ini, Perhimpunan Tahunan IKRAM telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ir Hj Amiruddin Hamzah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Ia merupakan acara tahunan IKRAM yang menghimpunkan ahli-ahlinya dari seluruh negara bagi berkongsi amanat pemimpin IKRAM, curahan ilmu dan membentangkan hala tuju IKRAM.

Suhail Shukri

Leave a Reply