Adakan 'engagement', sebarkan dakwah

Semua perlu berperanan menjayakannya
17
Oct

Adakan ‘engagement’, sebarkan dakwah

SHAH ALAM – Forum “Aplikasi Siasah Syar’iyyah Dalam Siasah, Masyarakat Madani, Wanita dan Belum Islam” sempena PTI 2016 menekankan kepentingan mengadakan engagement (hubungan dan keterlibatan) bersama masyarakat dan memberikan ilmu serta kefahaman tentang Islam dalam menyebarkan dakwah, sama ada dalam kalangan Muslim dan non-Muslim.

Forum menampilkan tiga orang panelis iaitu Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, Presiden Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Datin Paduka Hjh Che Asmah Ibrahim, Ketua Wanita IKRAM dan YB Dato Dr Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) di mana Prof Madya Hj Badlishah Sham Baharin, Ahli JKP IKRAM menjadi moderator.

pti16-forum2-4Datin Paduka Che Asmah berkata, banyak NGO-NGO Islam berpaling daripada berbicara dengan kumpulan-kumpulan yang berbeza pendapat dengan mereka. Lebih ramai yang mengecam daripada cuba memberikan kefahaman tentang pegangan Islam yang sebenar.

Menurutnya, Wanita IKRAM mengambil langkah pertengahan dengan mengadakan engagement dengan semua kumpulan.

“Wanita IKRAM  membuka ruang perbincangan seperti dengan Sisters in Islam (SIS) dalam isu perkahwinan kanak-kanak, AWAM (All Women’s Action Society) tentang isu keganasan  wanita dan juga agensi kerajaan seperti Kementerian Wanita dan LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara),” jelas beliau.

Tambahnya, Wanita IKRAM berazam untuk melahirkan lebih ramai ikon wanita seperti Dr Fauziah Mohd Hasan, bukan sahaja dalam bidang kemanusiaan, tetapi juga dalam pelbagai bidang yang lain dalam ruang lingkup kehidupan.

Dr Taufiq Yap pula menegaskan betapa masih ramai pendakwah yang hanya melakukan dakwah secara dalaman yang memfokuskan kepada Melayu sahaja, bukan kepada bangsa yang lain.

Tegasnya, ia menjadi antara sebab mengapa perkembangan dakwah belum Islam amat perlahan di Malaysia.

“Bagaimana kita nak berbincang dengan non-Muslim bila dakwah belum kita lakukan?” soal beliau.

Menurutnya, peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah tidak akan berlaku tanpa dakwah kepada yang belum Islam dan umat Islam patut ambil serius tentang aspek dakwah ini.

“Ya, kita patut protect ourselves (lindungi jati diri Muslim), namun dakwah mesti kita lakukan,” tegasnya.

Menyeru kepada Allah jelasnya, adalah mudah dan tidak kompleks.

“Konsep ketuhanan mereka ini (yang belum Islam) adalah mengikut tuhan nenek moyang. Kita hanya perlu kenalkan mereka dengan Tuhan mereka (Allah),” tambah beliau.

pti16-forum2-5Dalam konteks siasah, Dr Mujahid mengatakan bahawa ada beza antara perlembagaan negara dengan perlembagaan hidup di mana al-Quran adalah perlembagaan hidup, ia tidak sekadar meliputi keperluan Melayu mahupun raja-raja, tetapi ia meliputi seluruh aspek kehidupan.

“Al-Quran adalah dusturul hayah (perlembagaan hidup),” jelasnya.

Ditanya mengenai penonjolan Bersatu melebihi AMANAH dalam media katanya, ia tidak menghairankan kerana Bersatu dipimpin oleh bekas pimpinan UMNO seperti Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa menjadi perhatian media.

Namun begitu, ia perlu dinilai dalam aspek prosesnya juga di mana AMANAH mempunyai rekod yang jelas jumlah keahliannya sejak setahun penubuhannya berbanding dengan Bersatu.

Menurutnya, AMANAH meraikan kepelbagaian parti politik di Malaysia dan idealismenya termasuk penubuhan Bersatu dan mahu usahakan ke arah pembentukan gabungan parti politik yang lebih luas untuk melakukan perubahan dalam politik negara.

“Sekarang kita mahu usahakan ke arah coalition (gabungan) yang lebih luas,” ujarnya.

Pada akhir forum ini, pelbagai soalan yang ditanyakan kepada panelis-panelis berkaitan aplikasi siasah syar’iyyah dalam pelbagai aspek. Mesej paling besar daripada forum ini adalah, janganlah kita banyak berfikir tentang apa yang orang lain lakukan, tapi tanyalah diri kita apa yang kita sudah lakukan.

Dalam aspek wanita, masyarakat madani, dakwah non-Muslim dan politik, semuanya memerlukan usaha dakwah yang tidak berbelah bahagi daripada para aktivisnya. Sudah tiba masanya untuk kita keluar daripada kepompong keselesaan dan melakukan peranan sebaik-baiknya demi menuju Malaysia baru.

Leave a Reply