Single Blog Title

This is a single blog caption
22
Nov

Tetaplah beramal, Allah bersama kamu – Dr Ibrahim Munir

Meskipun tiada dalam aturcara majlis, para peserta PTI 2018 diberi kejutan istimewa dengan kehadiran Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Dr Ibrahim Munir yang kebetulan berada di Malaysia. Ikuti nasihat dan pesanan beliau kepada semua terutamanya aktivis dakwah:

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji dan selawat kepada Rasulullah SAW.

Para tetamu jemputan yang dimuliakan, para ikhwah akhawat sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam pertemuan yang penuh barakah ini, saya memanjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah swt supaya menjadikan pertemuan ini pertemuan yang penuh barakah dan dikira sebagai ganjaran pemberat timbangan pada hari akhirat.

Dan semoga Allah menjadikan kita golongan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah berkata pada hari kiamat: Di manakah orang yang berkasih sayang kerana keagunganku? Hari itu Aku akan menaunginya dalam naungan-Ku, pada hari tiada naungan selain naunganku.”

Dalam pertemuan yang penuh barakah ini juga, marilah kita bersama-sama mengingati tujuan utama agama dan dakwah kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta’ala dalam Surah az-Dzaariyaat:

“Tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku. Aku tidak berhajat sebarang rezeki daripada mereka aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaku.” (az-Dzaariyaat: 56-57)

Ini merupakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah yang disebut dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah SAW untuk menerangkan bahawa nikmat ini untuk seluruh makhluk-Nya.

Kitab Allah, dalamnya ada kisah tentang peristiwa sebelum kalian, dan setelah kalian, hukum perkara di antara kalian, ia adalah (firman) yang memisahkan (antara yang hak dan yang batil), bukan senda gurau, dengannya keinginan-keinginan tidak akan menyimpang, ulama tidak pernah puas darinya, tidak usang meski sering diulang-ulang dan keajaiban-keajaibannya tidak kunjung habis, barangsiapa meninggalkannya kerana bersikap sombong, maka Allah akan membinasakannya, dan barangsiapa mencari petunjuk pada selainnya, maka Allah akan menyesatkannya, ia adalah tali Allah yang kukuh, ia adalah peringatan yang bijaksana, ia adalah jalan yang lurus, sesiapa yang beramal dengannya akan diberi ganjaran, sesiapa yang menyeru kepadanya diberi jalan yang lurus.

Dengan rahmat Allah, Sunnah Rasulullah SAW datang untuk menghuraikan, mengajarkan serta memberikan panduan untuk menyempurnakan syariat Islam dengan cara beramal dan beribadah berlandaskan nas al-Quran dalam Surah al-Hasyr:

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya…” (al-Hasyr: 7)

Sejarah Islam dan umat Islam telah berlangsung selama 1440 tahun yang telah berlaku padanya pelbagai peristiwa dan juga muncul pelbagai kumpulan yang mempunyai pemikiran yang pelbagai. Ia bermula dengan golongan murtad yang muncul pada zaman khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq RA kemudian diikuti dengan kumpulan Khawarij pada zaman Saiyidina Ali bin Abi Talib RA, khalifah yang keempat.

Kumpulan-kumpulan ini mempunyai pelbagai nama dan tujuan, sebahagiannya merupakan penambahan pemikiran ke atas manhaj nubuwwah untuk Islam dan kemanusiaan seumpama pemilik mazhab-mazhab fiqh.

Alhamdulillah dengan izin-Nya, walaupun umat islam ditimpa dengan pelbagai mehnah dan ujian, ia bukan sahaja datang daripada orang yang tidak beriman dengan Islam, bahkan ujian ini juga datang daripada orang yang mempunyai ijtihad yang salah terhadap syariat Islam.

Sebahagian ujian ini berlaku ke atas mana-mana pemikiran dan kumpulan manusia yang berlegar sekitarnya. Sejarah menunjukkan pelbagai mehnah, tribulasi dan peperangan yang dihadapi oleh umat Islam dan melupakan pelakunya terhadap firman Allah Ta’ala:

Dan sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan dan Kamilah yang memeliharanya.”

Mereka juga lupa terhadap faktor-faktor yang pemeliharaan Allah menghendaki ia datang untuk menyempurnakan risalah Islam sepertimana yang diturunkan dalam Surah al-Maidah pada peristiwa Hajjatul Wada’ yang dengannya disempurnakan agama ini.

“…pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan aku telah redakan Islam itu menjadi agama kamu.”

Setelah risalah sempurna, datang sifat orang mukmin yang beramal dan ikhlas iaitu ummah yang Rabbani yang sifatnya disebutkan dalam al-Quran dan Hadis. Firman Allah Ta’ala:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzaab: 23)

Para mufassir (ahli tafsir) bersepakat bahawa perkataan rijal (lelaki) di sini tidak terbatas kepada kaum lelaki semata-mata bahkan ia bermaksud mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan tauhid dan nasihat kerana Allah.

Nabi SAW bersabda:

“Selalu ada dari umatku senantiasa yang menegakkan perintah Allah. Tidak dapat mencelakai mereka orang yang menghinanya dan juga orang yang menyelisihinya, hingga Allah datangkan kepada mereka perkaranya sedangkan mereka tetap kondisi seperti itu.”

Pada zaman umat dilanda dengan krisis dalam menghadapi penyelewengan syariat Islam dari segi kesyumulannya pada tanggungjawab ubudiyyah kepada Allah, untuk para pendakwah memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi ummah.

Sebahagiannya melampaui batas seperti mana yang dilakukan oleh Khawarij pada zaman khalifah atau kumpulan-kumpulan yang datang selepas itu yang mendakwa Allah mengutuskan lagi Nabi selepas Nabi Muhammad SAW.

Sekarang kita menghadapi propaganda baru terhadap kesyumulan Islam dari segenap kehidupan. Mereka memisahkan umat Islam dan memberikan label seperti Islam Sunni, Islam Sufi dan Siyasi.

Kita juga menghadapi tohmahan yang mengatakan bahawa generasi pendakwah Islam pada zaman ini telah mengutamakan politik ke atas agama. Boleh jadi tohmahan ini benar di sisi sebahagian kumpulan tetapi ia merupakan satu kesan negatif terhadap dakwah. Apa yang benar adalah firman Allah dalam Surah al-An’aam:

“Sesungguhnya solatku, ibadah ku, kehidupan dan kematianku hanya kerana Allah SWT.” 

Kita juga menghadapi dakwaan bahawa sejarah peperangan orang Islam yang mereka sebut sebagai jihad yang bermula dengan risalah mempertahankan agama Allah, maruah dan tanah air. Firman Allah Ta’ala:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang islam yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai.”

Ikhwah dan akhawat,

Jalan dakwah ini panjang, bermula daripada taklifan yang pertama dan akan kekal sehingga Allah mewariskan bumi dan segala yang ada padanya. Jalan ini bukanlah jalan yang mudah dan senang.

Oleh itu, hendaklah setiap mukmin itu menghadapi ujian sehingga pada hari kiamat nanti dia mampu memberi penyaksian ke atas dirinya sendiri sepertimana disebut dalam Surah al-Ankabut:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan untuk berkata ‘aku telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji?”

Seorang dai itu juga berhadapan dengan dirinya sendiri yang mungkin berbolak-balik sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ketika mana baginda ditanya oleh seorang sahabat tentang pemuda yang berjuang dengan keberanian, berjuang penuh semangat dan berjuang dengan perasaan riya’ di jalan Allah. Baginda menjawab: “Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia dianggap Fi Sabilillah.”

Kadangkala ujian itu datang daripada perbalahan dalaman, yang membuka pintu-pintu bagi syaitan, manusia dan jin. Maha Benar (kata-kata) Allah yang mulia:

“Dan taatlah kalian kepada Allah dan Rasul dan janganlah bertelingkah, kelak kamu akan gagal dan hilanglah semangat kamu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (al-Anfaal: 46)

Dan cukuplah ada satu generasi daripada generasi-generasi dakwah untuk tetap berada di jalan Allah ini, dan satu generasi yang mendoakan kebaikan kepada generasi sebelumnya seperti firman Allah dalam Surah al-Hasyr:

“Dan orang-orang yang datang selepas mereka, mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan dan janganlah kau jadikan dalam hati-hati kami perasaan tidak senang kepada orang yang beriman, Tuhan kami, engkaulah yang maha lembut lagi maha penyayang.””

Dan semoga Allah merahmati Imam Hasan al-Banna yang telah mendedikasikan buat ikhwannya sebuah risalah, kata beliau:

“Janganlah kalian melanggar peraturan alam kerana merekalah yang mendominasi tetapi tawanlah dan gunakan mereka, ubahlah gelombang dan saling bantu membantu satu sama yang lain.”

Sesungguhnya kalian hanya mendambakan wajhillah, ganjaran serta reda-Nya dalam setiap amal kalian, dan itu sudah pasti diganjarkan kepada kalian selagi mana kalian adalah orang-orang yang ikhlas. Bukan natijah amal yang dipertanggungjawabkan ke atas kalian, tetapi kesungguhan taubat serta persediaan yang baik.

Oleh itu, janganlah kalian larut dalam usaha-usahamu dan syiar-syiar kejayaan kamu… Tetaplah beramal, sesungguhnya Allah bersama kamu dan Dia tidak akan mensia-siakan amalmu.

Maha Benar Allah SWT dengan khabar gembira yang disebut dalam Surah al-Baqarah:

“Allah tidak akan sekali-kali mensia-siakan keimananmu, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan Maha Penyayang.”

Semoga Allah mengganjarkan kalian dengan segala kebaikan dan membantu kita semua untuk beribadah dan mengingati-Nya jua memperteguhkan kita di atas jalan ini.

Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply