Single Blog Title

This is a single blog caption
22
Nov

Ulama digesa henti bincang isu remeh

PUTRAJAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Fauwaz Fadzil menggesa ulama berhenti berbincang tentang isu remeh yang merugikan rakyat malah fokus kepada isu ekonomi yang lebih penting untuk pembangunan umat.

Katanya, umat Islam akan terus mundur sekiranya ulama lebih berminat berbincang isu bacaan qunut dan politik hingga ekonomi rakyat terabai.

“Kerugian bagi dunia ini sekiranya umat Islam mundur apatah lagi jika ulamanya mundur dan tidak berperanan.”

“Negara ini bergantung kepada keelokan, kebaikan dan kepakaran yang ada terutamanya daripada ulama Islam.”

“Ulama mesti mengutarakan isu-isu yang besar bukan isu-isu yang kecil, iaitu isu-isu yang menjadikan umat Islam ini maju seperti kemiskinan dan kefakiran.”

“Kita mesti menghapuskannya (kemiskinan),” katanya di hadapan hampir 3,500 peserta Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2018) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau menambah, tugas ulama bukan sahaja bercakap dalam ruang lingkup agama dan akhirat semata-mata jika mahu berlakunya penyatuan antara masyarakat Islam.

“Ulama-ulama mesti memfokuskan tentang isu makan dan minum serta isu gaji sebab ulama bukan bicarakan tentang akhirat ataupun kehidupan beragama sahaja.”

“Kita bincanglah isu tentang pemikiran, isu anak-anak muda, isu anak luar nikah dan isu dadah,” tambahnya ketika menyampaikan tajuk “Peranan Ulama Dalam Ruang Mengislahkan Masyarakat” dalam slot IKRAM Talks.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menggesa supaya ulama menjadi jurucakap bagi keamanan sejagat.

“Kata Syeikh Abdullah bin Bayyah, kalau pertembungan dan pergaduhan berlaku dalam semua perkara, kita ambil keamanan.”

“Kerana dengan keamanan kita mampu berfikir, mampu untuk membangunkan sebuah negara,” katanya sambil memetik bait ucapan ilmuwan Islam itu.

“Lihat saja di Iraq, sudah hampir belasan tahun tidak mampu membangunkan negara mereka kerana sudah tidak ada keamanan di sana.”

Beliau yang juga merupakan ahli Kesatuan Ulama Islam Sedunia walau bagaimanapun mengingatkan masyarakat supaya menggunakan medium yang ada ini dengan sebaiknya untuk memperbetulkan pemikiran ulama bagi membawa agenda ‘islah wal musolahah’ (pembaikan dan kemanfaatan).

“Ulama ini bukan sahaja ulama agama, malah merangkumi pelbagai kepakaran.”

“Kepakaran ini adalah kepakaran yang mampu membawa kepada anjakan paradigma dan perubahan misi Rahmatan Lil ‘Alamin,” katanya dengan memetik kata-kata Syeikh Muhammad Abduh.

Suhail Shukri

Leave a Reply